
Pengasas Tesla, Elon Musk hari ini menerima kunjungan sebuah delegasi korporat dari Indonesia, namun apa yang menariknya, beliau kelihatan begitu ‘santai’ dengan berbaju t-shirt sahaja.
Salah seorang ahli perniagaan Indonesia yang menyertai delegasi tersebut, Anindya Novyan Bakrie berkongsi detik bersejarah bertemu dengan orang antara terkaya di dunia itu menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
“Alhamdulillah mendapatkan kesempatan bertemu dengan Elon Musk mendampingi Menteri Koordinator Luhut Binsar Pandjaitan bersama tim Marinvest, Duta Besar Rosan Roeslani dan beberapa teman pengusaha di Gigafactory Tesla yang terbaru (1000 Ha) di Austin, Texas.
“Tujuan kami adalah untuk meyakinkan Tesla untuk bekerjasama dengan Indonesia mengenai pembekalan dan pemprosesan Nikel sebagai bahan mentah untuk menjadikan sel bateri berasaskan ESG (Environment, Social and Governance) yang baik dan bermanfaat,” katanya.

Difahamkan, mereka juga turut dibawa melawat ke kilang buatan kereta elektrik milik bilionair tersebut, sekaligus dapat melihat kejayaan syarikat itu depan mata sendiri.
“Kami juga dibawa menjelajah ruang yang jarang ditayangkan di dalam kilang kereta dan bateri Tesla. Menakjubkan, tetapan Rantaian Bekalan yang canggih dan kemas.
“Selain itu, kami juga akan memperkenalkan kepada beliau mengenai program G20/B20, termasuk menjemputnya untuk sertai International Advisory Caucus B20 dan menghadiri acara B20 pada pertengahan November kelak,” tambahnya.
Bagaimanapun, foto-foto tular yang memaparkan penampilan Elon Musk yang hanya berpakaian t-shirt itu lebih menarik perhatian warganet. Rata-rata mereka berasa kagum dengan sifat minimalis bilionair tersebut.
Sebelum ini, Elon Musk dilapor telah membeli aplikasi Twitter dengan harga RM191 billion hari ini. Oleh itu, dia telah berjaya mengambil alih salah satu syarikat besar memiliki jutaan pengguna bukan sahaja Malaysia dan Indonesia, malah hampir seluruh dunia.


Sumber: Facebook Anindya Bakrie