Elektrik Tak Ada, Ibu Pakai Kuasa Bateri EV Hidupkan Mesin Dialisis Anak
Seorang wanita terpaksa menggunakan sistem kuasa kecemasan kereta elektrik untuk menghidupkan mesin dialisis bagi menyelamatkan nyawa anak lelakinya.
Tindakan itu diambil selepas bekalan elektrik di tempat tinggal di Queensland, Australia terputus akibat ribut, semasa perayaan Krismas lepas.
Menurut Kristy Holmes, 42, pada awalnya dia menyangka insiden elektrik terputus itu hanya untuk tempoh sementara.
Malangnya, insiden berkenaan berpanjangan sehingga meletakkan nyawa anaknya yang bergantung pada mesin dialisis dalam keadaan bahaya.
Ekoran itu, dia beralih kepada bateri kereta BYD Atto 3 miliknya untuk mendapatkan sumber kuasa bagi menghidupkan mesin tersebut.
Kata Holmes, anaknya yang berusia 11 tahun berdepan dengan masalah kesihatan dan ketiadaan mesin dialisis boleh mengancam nyawa anaknya.
Disebabkan itu, dia menggunakan sumber kuasa kereta itu sebagai alternatif atau terpaksa menuju ke Brisbane sewaktu ribut masih melanda untuk sementara waktu.
Susulan itu, Holmes menyifatkan kenderaan elektrik itu merupakan kereta terbaik yang pernah dimilikinya.
“Ia kereta yang paling menakjubkan yang pernah saya ada.
“Sekarang kereta itu telah menyelamatkan nyawa anak saya. Jadi, saya mungkin tidak akan berfikir untuk kembali kepada kereta berenjin petrol,” katanya.
Sementara itu, seorang guru kimia yang juga pemilik kenderaan EV, Matt McLaughlin, 52, turut menggunakan kenderaannya untuk membantu komuniti setempat sewaktu ribut itu melanda.
Difahamkan, McLaughlin menawarkan sumber kuasa keretanya kepada sesiapa yang memerlukan dalam hantaran di Facebook Kumpulan Komuniti Bonogin.
“Jika ada yang memerlukan bekalan elektrik ringkas seperti membuka pagar dan lain-lain, saya boleh membantu sekiranya alat itu menggunakan sambungan jenis 3 pin 10A,” katanya.
Dia juga menyarankan kepada pemilik EV lain yang mempunyai sistem kuasa yang serupa untuk membantu jiran dan komuniti setempat.
Untuk makluman, Atto 3 dilengkapi dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna menyambungkan peralatan elektrik kepada kereta.
Ia termasuklah peralatan seperti lampu, komputer riba, televisyen dan peti sejuk.
Ciri pengecasan dua hala ini membolehkan kereta EV memberikan manfaat sebagai “sumber kuasa bergerak” ketika melakukan aktiviti seperti beriadah mahupun sewaktu dilanda kecemasan.
Sumber: The Guardian