
“Elakkan Skrin Terang”, Atasi Masalah Susah Tidur Pada Waktu Malam Dengan 7 Tips Ini
Kesibukan kerja atau terlampau berfikir merupakan faktor yang mendorong seseorang itu tidak mendapat tidur yang nyenyak.
Ramai sebenarnya yang menghadapi kesukaran untuk tidur lena pada waktu malam. Walaupun telah cuba sedaya upaya untuk tidur namun masih lagi gagal melelapkan mata. Lebih malang lagi jika keesokan harinya pula merupakan hari bekerja.
Seperti yang kita sedia maklum, tidur yang cukup merupakan satu keperluan utama manusia dalam mengekalkan mental dan fizikal yang sihat. Kekurangan waktu tidur menyebabkan seseorang berisiko untuk mendapatkan pelbagai penyakit.
Oleh itu, apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut? Hello Doktor ada berkongsikan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tidur seperti berikut:
Bergolek kiri kanan tetapi masih tidak dapat tidur lena? Usah bimbang, Hello Doktor ada cara mengatasi masalah sukar tidur yang boleh anda cuba.
Mendapat tidur lena dan berkualiti secara langsung akan mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal anda.
Masalah kekurangan tidur boleh mengakibatkan penurunan tenaga dan produktiviti, keseimbangan emosi serta menjejaskan berat badan.
Walaupun menyedari tidur yang mencukupi penting untuk kesihatan, namun masih ramai di antara kita yang berdepan isu kesukaran mendapatkan tidur lena setiap malam.
Hakikatnya, petua atau cara mengatasi masalah sukar tidur itu adalah melibatkan rutin harian anda sahaja.
Eh, betul ke? Apa kaitannya waktu tidur dengan rutin harian?
Nampak seperti saling tidak berhubung kait, kan?
Tetapi pilihan tabiat dan gaya hidup di siang hari yang tidak sihat boleh membuatkan anda sukar tidur lena pada waktu malam.
Keadaan tersebut sekali gus memberi impak buruk kepada emosi, kesihatan otak dan jantung, sistem imun, kreativiti serta keseimbangan berat badan anda.

Selepas mengetahui kesan apabila tidak mendapat tidur lena secukupnya kepada kesihatan diri secara keseluruhan, pasti anda ingin mengetahui petua untuk mengubah keadaan tersebut, betul tak?
Anda disarankan untuk bereksperimen dengan cara mengatasi masalah sukar tidur yang dikongsikan di bawah bagi mendapatkan tidur lebih nyenyak pada waktu malam.
Selaraskan dengan kitaran tidur semula jadi badan anda, atau irama sirkadian, adalah salah satu strategi yang paling penting untuk tidur lebih lena.
Dengan mengikuti jadual bangun tidur yang tetap, anda akan berasa lebih segar dan bertenaga. Caranya:
Cuba tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Ia membantu mengatur jam dalaman tubuh dan mengoptimumkan kualiti tidur
Elakkan perubahan walaupun pada hujung minggu. Semakin besar perubahan pada jadual tidur, anda mungkin akan mengalami gejala teruk seperti jetlag
Hadkan tidur siang pada awal tengah hari antara 15 hingga 20 minit
Lawan rasa mengantuk selepas makan malam. Jika tidur awal, anda berkemungkinan akan terjaga lewat malam dan berdepan kesukaran untuk tidur kembali

Melatonin adalah hormon semula jadi yang dikawal oleh pendedahan cahaya. Ia berfungsi membantu mengatur kitaran bangun-tidur anda.
Waktu siang
Dedahkan diri kepada cahaya matahari terik pada waktu pagi
Luangkan lebih banyak masa di luar ketika siang
Biarkan sebanyak mungkin cahaya semula jadi masuk ke dalam rumah atau ruang kerja anda
Waktu malam
Elakkan skrin terang sekitar 1 atau 2 jam sebelum waktu tidur
Elakkan menonton televisyen sehingga lewat malam
Apabila tiba waktu tidur, pastikan lampu bilik dimalapkan atau dipadamkan
Sekiranya terjaga, jangan terus membuka lampu, biarkan cahaya terus suram atau malap

Individu yang kerap bersenam akan tidur lena dan lebih nyenyak pada waktu malam, serta rasa kurang mengantuk pada siang hari.
Semakin kuat anda bersenam, semakin banyak manfaat tidur yang diperolehi.
Pun begitu, melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki untuk tempoh 10 minit sehari turut dapat meningkatkan kualiti tidur.
Tabiat pemakanan juga memainkan peranan penting bagi membantu anda mendapatkan tidur lena.
Ini terutamanya jika anda ingin mengambil sebarang makanan beberapa jam sebelum tidur.
Elakkan hidangan makanan berat pada waktu malam
Elakkan mengambil alkohol sebelum tidur
Hindari minum terlalu banyak cecair pada waktu petang
Kurangkan makanan bergula dan karbohidrat halus
Adakah anda sering berdepan situasi sukar tidur lena atau kerap terjaga pada waktu malam?
Mungkin tekanan, kebimbangan atau kemarahan yang masih berbaki daripada waktu siang menjadi antara punca anda mengalami kesukaran tersebut.
Cuba atasinya dengan mengembangkan rutin tidur yang membantu mempersiapkan diri untuk tidur seperti mengamalkan teknik relaksasi ataupun mandian air suam.
Anda juga boleh memalapkan cahaya bilik tidur mahupun mendengar alunan muzik lembut yang mendamaikan.
Rutin tidur yang tenang dapat memberikan isyarat kepada otak bahawa sudah tiba masanya untuk berehat dan melepaskan tekanan yang dialami.
Perlahankan sebarang bunyi
Pastikan suhu bilik sejuk
Pastikan tempat tidur anda selesa
Khaskan tempat tidur sebagai ruang untuk tidur dan hubungan intim, bukannya ruang bekerja
Ia adalah satu keadaan normal untuk terjaga sebentar. Tetapi jika anda berdepan masalah untuk kembali tidur, cuba petua berikut:
Elakkan membuat diri berasa tertekan
Letakkan matlamat untuk merehatkan diri dan bukannya tidur
Lakukan aktiviti yang tenang seperti membaca buku
Hindari daripada memikirkan isu yang boleh mendatangkan kebimbangan atau merangsang otak untuk berfikir. Jika ia berlaku, buat nota ringkas dan tunda rasa kebimbangan tersebut pada keesokan harinya
Sekiranya cara mengatasi masalah sukar tidur yang dikongsikan di atas tidak membawa sebarang perubahan, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor.
Masalah sukar untuk tidur pada waktu malam boleh diperbaiki dengan melakukan beberapa cara yang dinyatakan di atas. Ia mungkin memerlukan masa yang lama untuk memperbetulkan waktu tidur kembali normal.
Namun, seandainya masih tiada perubahan walaupun sudah cuba pelbagai cara anda mungkin boleh mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar perubatan.
Semoga perkongsian ini memberi informasi yang bermanfaat kepada anda.
Sumber: Hello Doktor
Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup