Gambar Via Google

El Salvador Jadi Negara Pertama Guna Bitcoin Sebagai Mata Wang Nasional

Sofea

El Salvador secara rasminya menjadi negara pertama yang menggunakan bitcoin sebagai mata wang nasional pada Selasa.

Menurut CNN, ia dianggap sebagai permulaan ‘eksperimen’ monetari radikal yang boleh menimbulkan risiko kepada ekonomi yang ‘rapuh’.

Presiden, Nayib Bukele mengumumkan perkara tersebut pada Isnin dan mengatakan bahawa kerajaan telah membeli 200 bitcoin menjelang penerimaan rasmi El Salvador terhadap mata wang itu.

Difahamkan, negara itu juga kini mempunyai 400 bitcoin yang bernilai hampir $21 juta (RM87.2 juta) pada tahap dagangan semasa.

Nayib juga menjelaskan bahawa bitcoin akan digunakan sebagai tender sah di El Salvador bersama dengan dolar AS mulai Selasa. Beliau yang mula menjadi presiden pada tahun 2019 itu telah mengumumkan rancangan penggunaan bitcoin sejak bulan Jun.

Penggunaan bitcoin itu dikatakan sebagai salah satu langkah untuk menarik pelaburan baharu.

Sementara itu, undang-undang yang menetapkan bitcoin sebagai tender sah menggariskan bahawa semua ‘ejen ekonomi’ akan menerima mata wang kripto sebagai bentuk pembayaran. Bukan itu saja, pembayaran cukai juga boleh dilakukan dengan menggunakan bitcoin.

Rakyat negara itu perlu memuat turun ‘Chivo Wallet’ iaitu aplikasi yang dicipta kerajaan dan sesiapa yang mempromosikan penggunaannya akan mendapat bitcoin bernilai $30 (RM124).

Bagaimanapun, organisasi sosial telah meminta kerajaan Salvador untuk memansuhkan undang-undang tersebut kerana bimbang mengenai turun naik mata wang kripto yang melampau.

Sumber: CNN