
Ekonomi Negeri Di Malaysia Mengukuh Pada 2024 – DOSM
PUTRAJAYA — Pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mengukuh apabila kesemua negeri mencatatkan prestasi positif sepanjang tahun 2024, dengan lima daripadanya mencatatkan kadar pertumbuhan melebihi paras nasional 5.1 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata semua negeri merekodkan pertumbuhan positif pada tahun 2024 dengan lima negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional.
“Negeri-negeri tersebut adalah Johor (6.4 peratus), diikuti Selangor (6.3 peratus), W.P. Kuala Lumpur (6.2 peratus), Pahang (5.7 peratus) dan W.P. Labuan (5.4 peratus).
“Enam negeri iaitu Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang pula kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia.
“Secara kumulatif, negeri-negeri ini menyumbang 73.2 peratus KDNK Malaysia pada 2024,” menurut DOSM dalam kenyataan itu.
Tambah jabatan itu, peningkatan nilai tambah KDNK negara pada tahun lalu berjumlah RM80.2 bilion, meningkat berbanding RM53.6 bilion pada 2023.
Selangor mendahului dengan peningkatan sebanyak RM25.5 bilion, diikuti W.P. Kuala Lumpur (RM15.5 bilion), Johor (RM9.5 bilion) serta Sarawak dan Pulau Pinang, masing-masing RM5.5 bilion.
Kelima-lima negeri ini menyumbang 76.7 peratus kepada kenaikan tersebut.
Sektor Perkhidmatan menyumbang 59.4 peratus kepada KDNK Malaysia dengan pertumbuhan 5.3 peratus, berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Empat negeri merekodkan kadar pertumbuhan melebihi peringkat nasional iaitu W.P. Labuan (6.4 peratus), Selangor (6.3 peratus), Johor (6.0 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (5.5 peratus).
Sektor Pembuatan yang menyumbang 23.1 peratus kepada KDNK Malaysia turut berkembang sebanyak 4.2 peratus, berbanding 0.7 peratus pada 2023.
Negeri yang menunjukkan prestasi terbaik ialah Kedah mendahului pertumbuhan sektor ini dengan 6.6 peratus (berbanding 3.2 peratus pada 2023), diikuti Perak dan Selangor, masing-masing 5.1 peratus.
Penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK Malaysia ialah sektor Pertanian, berkembang 3.1 peratus pada tahun 2024 (berbanding 0.2 peratus pada 2023). Prestasi ini dipacu oleh pertumbuhan di Pahang dan Johor, masing-masing 8.4 peratus dan 4.2 peratus.
Sektor Perlombongan & pengkuarian menyumbang 6.0 peratus kepada KDNK nasional pada 2024, menunjukkan pertumbuhan marginal 0.9 peratus namun Iebih baik daripada tahun sebelum (0.5 peratus).
Sarawak merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor ini, meningkat 4.1 peratus (0.1 peratus pada 2023). Sebaliknya Sabah yang merupakan penyumbang kedua tertinggi terus menyusut 5.0 peratus (4.5 peratus pada 2023).
Sektor Pembinaan menyumbang 4.0 peratus kepada KDNK Malaysia, terus mengukuh dengan merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu 17.5 peratus, berbanding 6.0 peratus pada 2023.
Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi memberangsangkan di Johor 42.7 peratus (12.7 peratus pada 2023), W.P. Kuala Lumpur 21.1 peratus (9.0 peratus pada 2023), Sarawak 18.7 peratus (8.9 peratus pada 2023) dan Selangor, 13.2 peratus (9.5 peratus pada 2023).
Bagi KDNK per kapita, lima negeri kekal merekodkan nilai melepasi paras nasional (RM56,734) iaitu W.P. Kuala Lumpur (RM136,365), W.P. Labuan (RM87,003), Pulau Pinang (RM76,033), Sarawak (RM73,426) dan Selangor (RM65,907).
Sumber: DOSM