Bimbang kemelesetan ekonomi tiba, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan (Menko Marves) Indonesia, Luhut Binsar Panjaitan menyarankan penduduk menanam cili sendiri di rumah.
Lapor CNN Indonesia, Luhut bersetuju dengan ancaman kemelesetan global yang diuar-uarkan dan menurutnya kebimbangan terhadap kejatuhan ekonomi boleh menjadi lebih teruk sekiranya ketegangan Rusia-Ukraine meningkat kepada perang nukelar.
Ujarnya, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah memberi arahan untuk ‘bekerja’ sebagai satu pasukan dan perlu berganding bahu menangani isu yang bakal tiba itu.
“Jadi, jangan saling menjelekkan. Karena kalau kita buat keadaan gaduh, yang korban rakyat kita sendiri menderita,” katanya kepada CNN Indonesia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Dokumen Startegik Pembiayaan Biru dan menandatangani Perjanjian Pembiayaan antara Pemerintah Indonesia dan UNDP baru-baru ini.
Walaupun ramai yang mendakwa Indonesia antara negara yang mempunyai ekonomi terkuat, namun Luhut mengakui kerajaan tidak akan boleh berbuat apa-apa sekiranya semua negara mengalami kejatuhan.
Luhut berkata sekiranya orang ramai menanam cili maka aliran kewangan kampung itu akan membantu menangani kemelesetan dunia.
“Kewangan desa itu sangat membantu, kita anjurkan orang juga menanam cili dan sayur sendiri di rumah. Saya gunakan istilah tentera, Perang Rakyat Semesta,” ujar Luhut.
Cadangan itu dianggap penting supaya penduduk Indonesia sentiasa mempunyai stok makanan walaupun mendakwa tiada tanda-tanda krisis makanan, namun Luhut menekankan Indonesia tidak seharusnya leka.
Terdahulu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan inflasi di negara membangun akan meningkat menjelang akhir tahun ini malah mencecah paras 9.9 peratus.
IMF turut meramalkan lonjakan inflasi turut berlaku di negara maju yang berpotensi mencecah 7.2 peratus menjelas akhir 2022.
Kenaikan inflasi telah dijawab oleh dasar monetari yang ketat oleh pelbagai bank pusat dan ia merupakan perkara yang dikhuatiri yang membawa kepada kemelesatan global pada 2023.
BACA JUGA: Menu Hidangan Amerika Ini Dikatakan Sama Dengan Makanan Indonesia – Laporan
Sumber: CNN Indonesia