Kredit: Detik.com & Antara

Duta Besar Indonesia Nafi Malaysia “Claim” Pacu Jalur

Azizah Najib

Duta Besar Indonesia Nafi Malaysia “Claim” Pacu Jalur

Kedutaan Besar Republik Indonesia (RI) di Kuala Lumpur tampil memberi penjelasan berhubung isu tular dakwaan Malaysia membuat tuntutan ke atas tradisi Pacu Jalur yang berasal dari Indonesia, lapor Antara.

Duta Besar RI di Malaysia, Hermono menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pernah membuat sebarang tuntutan rasmi berkaitan tradisi tersebut.

“Isu yang tular itu berkemungkinan tuntutan tidak rasmi yang dilakukan oleh orang Indonesia sendiri, atau hanya tuduhan tanpa asas bahawa Malaysia mengakuinya. Secara rasmi, tidak ada pihak yang menuntut itu milik mereka,” kata beliau pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan bahawa jika diteliti sejarah, ramai rakyat Malaysia kini yang berketurunan dari warga Indonesia. Sebelum kemerdekaan, ramai warga Indonesia yang berhijrah ke Malaysia.

“Ada Riau, Padang, Sulawesi Selatan, Jawa dan lain-lain. Disebabkan itu, sekarang kita boleh lihat banyak persamaan budaya di Malaysia. Ia dibawa oleh orang asal Indonesia yang sudah menjadi warganegara Malaysia,” tambah Hermono.

Menurutnya lagi, persamaan turut dapat dilihat dari segi nama tempat.

“Pacu Jalur itu setahu saya dilakukan di Sungai Kuantan Riau. Di Malaysia juga ada tempat bernama Kota Kuantan, serta Sungai Kuantan di Pahang. Jadi ada persamaan.

“Namun setakat ini, tidak ada kenyataan rasmi yang menuntut Pacu Jalur ini warisan budaya mereka,” ujar beliau.

Susulan itu, Hermono mengingatkan warga Indonesia agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih di media sosial kerana ia mampu mencetuskan ketegangan.

“Warga Indonesia dinasihatkan agar tidak mudah termakan provokasi berita-berita di media sosial yang tidak jelas sumbernya. Jangan sampai persamaan budaya menjadi faktor yang mendorong pergaduhan yang tidak perlu di media sosial,” pesan beliau.

Turut menambah, beliau menyifatkan persamaan budaya antara kedua negara ini merupakan penghubung erat negara serumpun. Namun begitu, perkara ini sering dijadikan polemik ketegangan di media sosial.

Sumber: Antara

BACA: Dakwa Malaysia “Claim” Budaya Pacu Jalur, Rupa-Rupanya Pemilik Akaun Rakyat Indonesia

BACA: Gabenor Indonesia Tampil Beri Penjelasan, Dakwaan Tradisi Lebih 100 Tahun Di “Claim” Malaysia