Pakar penganalis keselamatan global Ankit Panda mendedahkan bahawa dunia berkemungkinan ‘dipaksa hidup’ bersama Korea Utara yang mempunyai serta menghasilkan senjata nuklear berkapasiti tinggi, lapor Al-Jazeera.
Panda berkata setiap pelancaran yang dilakukan oleh Korea Utara bukan tergolong dalam ujian malah lebih daripada 40 pelancaran peluru berpandunya dilaporkan berlaku sekiranya peluru berpandu balistik dan pelayaran digabungkan bersama.
“Beberapa pelancaran adalah ‘pembangunan’, yang bermaksud mereka sedang membangunkan sistem penyampaian baharu dan perlu mengujinya untuk melihat sama ada ia berfungsi atau tidak,” katanya.
Dalam dua minggu lalu, Pyongyang telah melakukan tujuh pelancaran peluru berpandu balistik jarak dekat dan pertengahan, termasuk satu yang terbang melintasi Jepun.
Pada bulan Mac, Korea Utara melancarkan Hwasong-17, yang digelar “Misil Raksasa” oleh sesetengah pihak.
Pyongyang mempertahankan bahawa program senjata dan pelancaran peluru berpandu adalah sebagai cara pertahanan yang sah dan bukan seperti ancaman yang dikatakan oleh Amerika Syarikat (US).
Namun tembakan peluru berpandu itu telah membawa kepada ketegangan yang tidak pernah dilihat dalam beberapa tahun antara Korea Utara, Korea Selatan, Jepun dan US.
Dalam pada itu, Panda berkata semua senjata yang dihasilkan Korea Utara amat membimbangkan antaranya senjata peledak nuklear dan boleh menghancurkan negara sekiranya terkena.
Korea Utara berharap untuk menjadikan senjata nuklear sebagai senjata yang boleh dipercayai dan mereka telah memperhalusi keupayaan secara kualitatif untuk memastikan US dan Korea Selatan tidak dapat memusnahkan senjata mereka.
Ditanya mengenai jenis senjata yang dihasilkan, Panda berkata berkemungkinan Korea Utara mempunyai lingkungan 40 hingga 70 peledak nuklear yang dihasilkan.
“Sebahagian daripada hulu peledak itu akan menghasilkan hasil yang tinggi dan kebanyakan kepala peledak akan menjadi senjata yang tidak berkuasa tinggi namun masih lagi menghasilkan nuklear,” jelasnya.
Ujar Panda, dalam jangka pendek Korea Utara mungkin akan terus menguji peluru berpandu yang akan berterusan dalam jangka masa sederhana.
“Saya fikir dalam jangka pendek kita akan terus melihat ujian peluru berpandu Korea Utara, pembangunan keupayaan, penghalusan kualitatif, pengembangan kuantitatif keupayaan nuklear mereka.
“Dalam jangka panjang, saya fikir dunia akan dipaksa hidup bersama dengan Korea Utara yang bersenjata nuklear,” ujarnya.
Sumber: Al-Jazeera