Presiden Bank Dunia, David Malpass memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia apabila harga makanan, tenaga dan baja melonjak.
Dalam satu acara baru-baru ini, David berkata agak sukar untuk kita semua mengelak daripada kemelesetan tersebut, lapor BBC.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk akibat daripada siri pandemik yang berlaku di China beberapa tahun yang lalu.
“Apabila melihat pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pula, sukar untuk kita mengelak dari kemelesetan.
“Malah, idea untuk meningkatkan harga sumber tenaga juga sudah cukup untuk mencetuskan kemelesetan dengan sendiri,” katanya.
Bulan lalu, Bank Dunia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya untuk tahun ini sebanyak hampir mata peratusan penuh iaitu kepada 3.2%.
KDNK ialah ukuran pertumbuhan ekonomi dan ia adalah salah satu cara yang paling penting untuk mengukur sejauh mana prestasi ekonomi. Ia sentiasa ‘diawasi’ oleh ahli ekonomi dan bank pusat.
Ia juga membantu ahli perniagaan untuk menilai sama ada mereka boleh melantik lebih pekerja atau mengurangkan tenaga kerja mereka.
Dalam pada itu, David juga berkata kebanyakan negara Eropah masih lagi terlalu bergantung kepada Rusia untuk mendapatkan sumber gas dan minyak walaupun negara barat merancang untuk mengurangkan kebergantungan tersebut.
Terdahulu, para saintis telah memberi amaran bahawa dunia kini sedang menuju ke arah krisis makanan global.
Dengan sumber makanan yang tidak mencukupi, masyarakat dunia dikatakan akan bergelut untuk terus hidup.
“Saya tidak fikir ia ada jalan keluar, ia juga berlaku lebih cepat berbanding perubahan iklim.
“Kekurangan air, tanah dan tenaga yang digabungkan dengan peningkatan permintaan daripada populasi dan pertumbuhan ekonomi akan mewujudkan kekurangan makanan global menjelang tahun 2050.
“Jika perang dunia berlaku di masa akan datang, ia mungkin akan berpunca disebabkan oleh makanan dan sumber air,” kata saintis, Profesor Julian Cribb.
Sumber: BBC