wang kelian kini
Gambar: TikTok youbuybye

“Dulu Meriah, Sekarang Dah Mati”, Sepi Macam Rumah Hantu, Lelaki Dedah Suasana Terkini Wang Kelian

Iqbal Yasir

Tular sebuah video seorang lelaki menunjukkan lokasi Wang Kelian yang dulunya dikunjungi orang ramai, kini sepi seperti ‘rumah hantu’.

Rakyat Malaysia terutamanya di Semenanjung pastinya mengenali tempat yang suatu ketika dahulu pernah menjadi persinggahan bagi penggemar barang dari Thailand.

Lokasi pasar tumpuan itu terletak di utara tanah air iaitu Wang Kelian, Perlis Indera Kayangan dan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam video yang dimuat naik oleh youbuybye menerusi aplikasi media sosial TikTok, dia menunjukkan suasana terkini kawasan pasar tinggal tersebut.

Jika dulu, pasar Wang Kelian ini sangat meriah dengan pelbagai jenis kedai yang menjual barang-barang rumah dari Thailand seperti periuk belanga, kuali, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Kredit: Libur via Google

Malah selain itu, ia juga memberi pengalaman unik kepada pengunjung, seolah-olah mereka sedang berada di kawasan Thailand – walaupun sempadan hanya beberapa meter dari situ.

Bagi mereka yang mahu ke Thailand tapi belum ada ‘rezeki, pasar Wang Kelian inilah yang menjadi tempat melepas ‘hajat’. Apa yang ada di Thailand, semuanya boleh dapat di sini.

Namun, itu semua cerita beberapa tahun dulu. Kini, pasar Wang Kelian sudah bertukar suasana. Tiada lagi hiruk-pikuk manusia, tiada lagi riuh-rendah pengunjung.

Berdasarkan tinjauan dalam video itu, kelihatan suasana di deretan kedai di kanan dan kiri yang dahulu kalanya meriah dipenuhi pengunjung, kini seolah-olah jadi kedai ‘berhantu’.

“Korang Pernah Kesini Tak Suatu Ketika Dulu,” tulis youbuybye menerusi ruang kapsyen.

Kita boleh lihat sendiri dalam video, hampir semua bangunan kedai di pasar ini ditinggalkan menjadi tempat terbiar. Sunyi sepi, yang berbunyi hanya angin dan unggas di kanan kiri.

Video tersebut telah ditonton hampir 350,000 tontonan dan meraih kira-kira 11,000 tanda ‘suka’ setakat artikel ini ditulis.

Rata-rata warganet memberikan pelbagai komentar, terutamanya oleh mereka yang pernah ke sana dan mengimbau kenangan zaman dahulu di situ.

“Masa kecik dulu selalu datang dengan family nampak ada kedai jual pistol nak beli tapi mak tak bagi,” tulis warganet bernama Wafiy.

“Dulu aku sampai nangis sebab bapak aku tak bagi beli basikal fixie kat sini, mahal katanya kenangan betul tempat ni,” komen Just kimiy.

“Last pergi 2013,” kata Soffuwah.

Itu antara perkongsian kenangan melalui komen-komen warga TikTok tentang tempat yang pernah menjadi fenomena itu.

Sumber: TikTok youbuybye