
“Dulu, I pernah doa…” – Wanita Tak Sangka Ini ‘Harga’ Yang Perlu Dibayar
Sebagai manusia, kita hampir selalu menginginkan lebih daripada apa yang kita punya. Lebih duit, lebih selesa, lebih bahagia. Kadang, bukan kerana tidak bersyukur, tetapi mungkin tekanan hidup memerlukan kita untuk berharap lebih.
Berharap dan berdoa itu tidak salah. Malah, ia adalah tanda kita masih bergantung kepada Maha Pencipta. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa setiap doa yang dikabulkan juga datang dengan ‘harga’ yang perlu ditanggung?
Itulah persoalan besar yang membuatkan ramai ‘tersentak’ apabila membaca satu perkongsian tular seorang wanita menerusi Threads baru-baru ini.
Dalam perkongsiannya, wanita ini menceritakan bagaimana suatu ketika dahulu dia sangat menginginkan pendapatan lima angka sebulan.
“Dulu, I pernah doa… Ya Allah, bagilah aku income 5 angka sebulan, tengok orang lain best, indah ya hidup ada duit 5 angka sebulan.
“Banyak kali minta, setiap masa, setiap waktu, setiap sujud. Akhirnya, Allah kabulkan juga sebiji macam I nak, tapi end up I menyesal…,” kongsinya.
Menurutnya, ketika masih bergaji empat angka, hidupnya sederhana tetapi cukup. Semua keperluan dapat diselesaikan dengan baik.
Namun, apabila pendapatannya melonjak kepada lima angka, segalanya berubah.
“Masa I gaji 4 angka, memanglah tak kaya tapi cukup untuk semua settle elok je. Bila income pecah 5 angka sebulan, macam-macam boleh beli tapi dia tak datang kosong ya. Kena ulang-alik hospital, BP low, dehydrate, kena hidup depend on ubat,” kongsinya lagi.
Dari situ, wanita ini belajar satu perkara besar dalam hidupnya. Apa yang kita inginkan belum tentu sesuatu yang kita mampu tanggung.
“Mintalah apa yang baik di sisi-Nya, bukan sekadar apa yang kita rasa benda tu best dan baik untuk kita. Sebab apa yang kita nak, belum tentu mampu kita tanggung.
“Kadang Allah tak bagi bukan sebab Dia kedekut, tapi sebab Dia tahu kalau bagi sekarang, kita tak boleh nak hadap dan tanggung beban tu,” nasihatnya.
“Allah lebih tahu apa yang menyelamatkan kita walaupun ketika itu kita sedang menangis, meminta sesuatu yang sebenarnya boleh memusnahkan kita perlahan-lahan tanpa kita sedar.
“Kadangkala, Allah rosakkan plan kita sebab Allah tahu plan tu akan rosakkan kita pada akan datang. Sesungguhnya Allah tahu apa yang kita tak tahu,” tambahnya.
Di akhir perkongsiannya, wanita ini meninggalkan satu peringatan yang mungkin boleh dijadikan renungan bersama. Katanya, Allah SWT mengabulkan doa kita dengan tiga cara:
1. Kita minta, Allah beri terus
2. Kita minta, Allah beri kemudian
3. Kita minta, Allah tak beri kerana Dia mahu beri sesuatu yang lebih baik
Selepas berdoa, katanya, serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Percaya bahawa Allah SWT tidak pernah menyakiti hamba-Nya. Semua yang berlaku, walaupun pahit, pasti ada hikmahnya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.
BACA: Ayat “Deep” Tok Kadi Sampai Buat Ramai Tetamu Lelaki ‘Sentap’
Sumber: Threads @shrfh.hanaa