
Dugaan Menjelang Raya, Rumah Bekas Vokalis Samudera Musnah Dijilat Api
Berbaki beberapa hari sahaja sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri, keluarga bekas vokalis kumpulan Samudera, Mohamad Suhaimi Rapaad diuji apabila rumah mereka musnah dijilat api.
Memetik laporan Sinar Harian, rumah Suhaimi dilaporkan musnah dalam kebakaran di Felda Jengka 20 sekitar 7.40 malam, pada Rabu.
Ketika kejadian, Suhaimi (38) bersama isterinya, Yuriza Hanim (38) dan ibunya, Nadira Shaharudin (78) berada di Taiping, Perak. Difahamkan, mereka bertiga berada di sana atas urusan keluarga sejak sebulan lalu.
Menurutnya, kejadian itu disedari oleh jirannya sebelum dia dihubungi oleh rakannya kira-kira jam 8.30 malam.
“Saya dan isteri serta ibu sampai di sini kira-kira jam 5.30 pagi tadi, apa pun tak dapat diselamatkan termasuk gitar kesayangan.
“Terkedu juga dibuatnya bila melihat semuanya musnah, dengan tinggal berapa hari lagi nak raya, ini memang ujian buat kami sekeluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, Suhaimi bersama keluarganya bakal menumpang di rumah adik-beradiknya buat sementara waktu.
BACA: Ketahui Apa Itu “Embalming”, Proses Terhadap Jenazah Untuk Dibawa Pulang Dari Luar Negara
Suhaimi yang juga merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu memaklumkan, jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan mencecah RM250,000.
“Namun saya bersyukur kerana tidak membabitkan sebarang nyawa dan kecederaan,” ujar bekas vokalis itu.
Dalam pada itu, Suhaimi menjelaskan bahawa urusan untuk rakaman lagu di studio mungkin sedikit terjejas disebabkan kejadian itu.
“Saya baru ditawarkan sebagai vokalis Kumpulan Dinamik pada Januari lalu,” jelasnya.
Untuk makluman, Suhaimi pernah menyertai kumpulan Samudera pada 2023 dan beliau sempat merakamkan satu single bersama kumpulan itu sebelum ini.
BACA: Jangan Keliru, Ketahui Siapa Yang Kita Boleh Salam Ketika Hari Raya
Sumber: Sinar Harian