bangladesh sokong kumpulan pengganas
Gambar: Bernama

Dua Warga Bangladesh Didakwa Sokong, Simpan Simbol Berkait Kumpulan Pengganas

Iqbal Yasir

Dua Warga Bangladesh Didakwa Sokong, Simpan Simbol Berkait Kumpulan Pengganas

JOHOR BAHRU, 15 Ogos — Dua lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyokong aktiviti dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Tertuduh pertama, 31, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas melalui aplikasi media sosial Facebook menggunakan akaun bernama Sahifulla Islam antara 28 Julai 2023 hingga 30 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara hingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh kedua, 27, didakwa memiliki satu gambar bendera kumpulan pengganas dalam telefon bimbit jenis Honor X6a pada 10 Julai 2025 di sebuah rumah di Larkin Industrial Estate, pada kira-kira 4.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda dan pelucuthakan barangan terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap tertuduh pertama dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala kes tertuduh kedua oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan, sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Sept untuk sebutan semula bagi pelantikan jurubahasa memandangkan kedua-duanya hanya memahami sedikit bahasa Melayu.

Sumber: Bernama