Dua Wanita Warga Thailand Ditahan Bersama Dadah & Pistol Tiruan

Edayu

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Polis menahan dua wanita warga Thailand dan merampas tiga pucuk pistol tiruan bersama dadah jenis methamphetamine seberat satu gram dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama dekat sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira 6.45 petang itu, polis turut merampas tiga kelopak peluru dan sebuah kotak berisi 50 butir peluru.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata hasil siasatan terhadap suspek wanita berusia 23 tahun itu mendapati pistol tersebut milik teman lelakinya yang dikenali sebagai Delvin.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek wanita itu positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua yang berusia 36 tahun negatif.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman empat hari sehingga Ahad ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis sedang mengesan ‘Delvin’ bagi membantu siasatan.

— BERNAMA