WASHINGTON, 12 Mac (Bernama) — Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengesahkan dua anggotanya maut dalam serangan roket di pangkalan tentera Iraq, lapor agensi berita Xinhua memetik media Amerika.
Media melaporkan dua tentera dan seorang anggota perkhidmatan Britain terbunuh dalam serangan roket di Kem Taji Iraq, di utara Baghdad dan sedozen lagi cedera, memetik pegawai.
Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan pakatan diketuai AS, kira-kira 18 roket dilancarkan yang menyasarkan pangkalan tentera itu.
Serangan itu menyebabkan jumlah terkini tentera AS yang terbunuh di Iraq seramai empat orang dalam tempoh empat hari.
Pada 8 Mac dua anggota marin maut ketika dalam misi menghapuskan kubu pengganas Daesh di kawasan pergunungan utara-tengah Iraq.
Lebih 5,000 askar AS ditugaskan untuk menyokong tentera Iraq bagi membanteras militan Daesh, terutamanya dalam aspek latihan dan khidmat nasihat.
Sumber: BERNAMA