Sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sempat tular di beberapa platform sosial media hari ini, menunjukkan sebuah pondok polis dibakar individu tak bertanggungjawab.
Seorang lelaki bermotorsikal melakukan perbuatan khianat tersebut awal pagi tadi di salah satu pondok polis di Pasar Jelawat, Bachok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata kepada Sinar Harian, dua suspek lelaki berusia 24 dan 35 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
Kata Shafien memetik laporan Sinar, Balai Polis Bachok menerima laporan jam 3.12 pagi tadi mengatakan seorang lelaki bermotorsikal membaling sebuah objek ke arah pondok polis tersebut hingga terbakar.
“Siasatan di tempat kejadian menjumpai satu objek plastik berisi sisa petrol.
“Motif suspek membakar pondok polis berkenaan masih dalam siasatan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Ujian air kencing suspek yang berumur 35 tahun didapati positif dadah jenis metaphetamine,” kata Shafien kepada Sinar.
Kedua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkait dadah. Kedua-duanya direman bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan, tambah Shafien.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api). Pelaku boleh dihukum 14 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Rakaman CCTV yang menunjukkan perbuatan khianat tersebut sempat beredar di media sosial hari ini. Dalam video berdurasi kurang seminit itu, dapat dilihat seorang lelaki menunggang motorsikal dan berhenti di pondok polis tersebut. Pelaku kemudian dilihat membongkok seperti meletakkan sesuatu dan dalam hitungan detik pondok polis di Pasar Jelawat itu terbakar.
Sumber: Sinar Harian