Beaufort : Seorang lelaki maut manakala sepasang suami isteri parah selepas dua kenderaan jenis Perodua Axia bertembung dalam satu nahas di Kampung Mempagar, KM5 Jalan Beaufort/Menumbok, pukul 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abd Razak berkata Lusim Conolius@Hilarion, 55, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort manakala isterinya hanya mengalami cedera ringan.
Beliau berkata Samneh Anzmah Mu Fui Sun, 46, pula mengalami patah tulang selangka kiri dan paha kanan, manakala isterinya Norsadah Ombi, 46, mengalami patah tulang rusuk kanan, dan anak mereka, Mohammad Adam Irfan Samneh, 12, hanya mengalami cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Lusim dari arah Kuala Penyu menuju ke Beaufort dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung dengan sebuah lagi kenderaan dari Beaufort ke Kampung Lupak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azmir berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Bernama