BUTTERWORTH, 27 Sept (Bernama) — Polis menahan dua pemandu mabuk menerusi ‘Op Mabuk’ yang dijalankan di sekitar Butterworth awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kedua-dua lelaki berumur 51 dan 33 tahun itu masing-masing ditahan di Jalan Chain Ferry dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.
“Ujian awal pernafasan menggunakan alat SD2+ ke atas mereka mendapati terdapat kandungan alkohol yang tinggi di dalam badan,” katanya di sini, hari ini.
Kedua-dua pemandu itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
Menurut beliau, seramai 200 pemandu kenderaan telah diperiksa dan sejumlah saman turut dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi bermula pukul 11 malam hingga 6 pagi tadi.
— BERNAMA