Gambar sekadar hiasan

Dua Pemandu Lori Ditahan, Dadah Bernilai Lebih RM152,000 Dirampas

Sha Rossa

KUANTAN, 25 Jan (Bernama) — Tindakan dua pemandu lori yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan 6.68 kilogram (kg) dadah di dalam lori makanan sejuk beku terbongkar apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Genting Highlands, kira-kira 214 kilometer dari sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan ketika melalui pondok pengawal polis bantuan Genting Highlands pada pukul 8.35 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di dalam lori berkenaan menemui 2.09 kg dadah jenis syabu dan 4.59 kg heroin bernilai RM152,792 yang disembunyikan di dalam sebuah beg. Hasil rampasan keseluruhan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 13,378 orang pengguna.

“Sindiket ini bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar Lembah Klang dan Bentong dalam tempoh tiga bulan ini dan kita percaya masih ada ahli mereka yang masih bebas. Usaha mengesan suspek masih diteruskan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 35 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah manakala hasil saringan air kencing suspek berusia 39 didapati positif.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 27 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA