KUANTAN, 2 Nov – Dua pelajar tingkatan tiga maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan lori di Km26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis, Karak di Bentong kira-kira 160 kilometer dari sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusof Unis berkata kejadian berlaku pada 7.30 pagi tadi dan mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Fikrie Mohd Azhari dan Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir, kedua-duanya berusia 15 tahun dan berasal dari Felda Mempaga Tiga, Bentong.
Menurutnya, penunggang Muhammad Fikrie maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya Muhammad Haziq Iskandar disahkan meninggal dunia pada kira-kira 10 pagi, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mempaga.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal Modenas Kriss mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh menyebabkan kenderaan itu terbabas dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan,” katanya semasa dihubungi di sini.
Yusof berkata pemandu lori tersebut yang berusia 63 tahun tidak cedera dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA