
Dua Negeri Diramal Alami Hujan Lebat Hingga Malam Ini
Ribut petir dan hujan lebat diramal akan berlaku di dua negeri sehingga jam 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa amaran dikeluarkan di negeri Sarawak iaitu di Sri Aman (Sri Aman), Betong (Saratok), Sarikei (Pakan), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu dan Limbang.
Selain itu, ia juga turut melibatkan negeri Sabah di daerah Pedalaman (Sipitang dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan amaran cuaca ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Terdahulu, MetMalaysia juga telah mengeluarkan amaran mengenai hujan berterusan tahap waspada di tiga negeri.
Hujan berterusan itu dijangka akan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu bermula 5 hingga 8 Januari.
Manakala, di Pahang iaitu di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin bermula pada 6 hingga 8 Januari.
Amaran itu dikeluarkan susulan analisis terhadap model-model ramalan cuaca yang menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka berterusan sehingga 8 Januari 2026.
“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora juga dikemas kini berkuat kuasa sehingga 6 Januari 2026 bagi Laut China Selatan termasuk perairan barat Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur,” kata MetMalaysia.