dua menteri ghana
Kredit: Laman X

Dua Menteri Ghana Terkorban Dalam Nahas Helikopter

Sofea

Dua Menteri Ghana Terkorban Dalam Nahas Helikopter

Menteri Pertahanan dan Menteri Alam Sekitar Ghana disahkan terbunuh dalam nahas helikopter tentera pada Rabu, menurut kenyataan pejabat presiden.

Memetik laporan AFP, helikopter milik tentera udara itu membawa tiga kru dan lima penumpang sebelum terhempas di kawasan hutan di selatan negara itu.

Stesen televisyen Joy News menyiarkan rakaman dari lokasi nahas yang menunjukkan serpihan pesawat yang masih berasap di kawasan hutan tebal. Ketika itu, identiti mangsa belum disahkan, namun kemudian diumumkan bahawa dua menteri iaitu Edward Omane Boamah dan Ibrahim Murtala Muhammed adalah antara yang terkorban.

Boamah dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Presiden John Mahama sejurus selepas Mahama mengangkat sumpah pada Januari lalu.

Muhammed, 50 tahun, memegang jawatan Menteri Alam Sekitar, Sains dan Teknologi. Beliau dijadualkan menghadiri rundingan PBB yang sedang berlangsung di Geneva bagi merangka perjanjian global dalam memerangi pencemaran plastik.

Media tempatan Ghana melaporkan helikopter tersebut sedang dalam perjalanan ke satu program berkaitan perlombongan haram, satu isu alam sekitar yang besar di negara Afrika Barat itu.

Semua individu di dalam pesawat disahkan maut dalam nahas yang berlaku di wilayah Ashanti, selatan Ghana.

BACA JUGA: Helikopter Terhempas Di India, 6 Disahkan Maut

“Presiden dan kerajaan merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga, rakan seperjuangan dan anggota keselamatan yang terkorban ketika berkhidmat untuk negara,” kata Ketua Staf Presiden Mahama, Julius Debrah.

Angkatan Tentera Ghana memaklumkan siasatan telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca nahas helikopter Z9 tersebut.

Sebelum ini, tentera melaporkan bahawa helikopter berkenaan hilang dari radar selepas berlepas dari Accra sekitar jam 9 pagi waktu tempatan. Ia dijadualkan menuju ke bandar Obuasi di barat laut ibu negara.

Turut terkorban dalam nahas tersebut ialah Timbalan Penyelaras Keselamatan Negara Ghana merangkap bekas Menteri Pertanian Alhaji Muniru Mohammed serta Naib Pengerusi parti pemerintah National Democratic Congress (NDC) pimpinan Mahama, Samuel Sarpong.

Boamah yang berkelulusan doktor perubatan pernah berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dalam pentadbiran Mahama dari 2012 hingga 2017 dan sebelum itu menjawat jawatan Timbalan Menteri Alam Sekitar.

Muhammed pula berdepan cabaran besar dalam isu perlombongan emas haram atau “galamsey” yang telah merosakkan tanah pertanian dan mencemari sumber air.

Amalan ini mengancam pengeluaran koko negara dan menjadi isu utama dalam pilihan raya yang membawa kemenangan kepada Mahama tahun lalu.

Sumber: AFP