
Dua Maut, Lebih 200 Dipindahkan Akibat Banjir Teruk Di Bali
Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bali, I Gede Agung Teja Bhusana Yadny melaporkan banjir yang melanda sejumlah daerah di wilayah Bali hari ini merupakan yang terburuk dalam tempoh sedekad terakhir.
Menurut portal BBC News Indonesia, sekurang-kurangnya dua orang maut akibat banjir itu, manakala lebih 200 orang dipindahkan di pelbagai kawasan di wilayah tersebut.
“Ada mangsa yang ditemukan, dua orang meninggal dunia,” ujar Gabenor Bali, I Wayan Koster kepada wartawan BBC News Indonesia.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, kedua-dua mangsa itu merupakan penduduk daerah Jembrana.
Difahamkan, antara wilayah yang terjejas dengan banjir meliputi daerah Jembrana, Gianyar, Tabanan, Klungkung dan Kota Denpasar.
Ketua Seksyen Operasi dan Kesiapsiagaan, Pejabat Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Bali, I Wayan Juni Antara berkata, proses pemindahan mangsa banjir masih berterusan hingga pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) sejak pukul 5 pagi (waktu tempatan).
Tambah beliau, hujan yang melanda sejak semalam tidak berhenti hingga hari ini, menyebabkan limpahan air di sungai-sungai sekitar Denpasar.
Dalam masa sama, beberapa jalan raya telah dinaiki air sehingga akses terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Balai Besar Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BBMKG) Wilayah III Denpasar melaporkan, hujan berintensiti ringan hingga lebat disertai angin kencang dan kilat berlaku di sebahagian besar wilayah Bali sejak pagi semalam.
Menurut BBC News Indonesia, hujan lebat itu turut mencetuskan limpahan air di beberapa sungai di Pulau Bali, antaranya Sungai Tukad Badung berhampiran Pasar Badung, Denpasar.
Sumber: BBC News Indonesia