Dua Maut Dalam Kemalangan Babitkan Lebih 50 Kenderaan Di Jepun
Jepun — Satu kemalangan ngeri telah berlaku di Lebuhraya Kan-Etsu di Wilayah Gunma yang melibatkan perlanggaran membabitkan lebih 50 kenderaan pada Jumaat.
Memetik laporan The Japan Times, nahas yang bermula dengan sebuah trak itu menyaksikan dua orang maut dan 26 orang cedera.
Polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.30 malam mengenai kemalangan terbabit.
Menurut pegawai di unit polis trafik lebuh raya wilayah itu, kemalangan itu juga menyebabkan lebih 10 kenderaan terbakar.
Daripada dua orang yang maut, seorang dikenal pasti sebagai Miyuki Wakita, 77, dari Chofu barat Tokyo. Mangsa ditemui berada di tempat duduk belakang kereta yang dipandu oleh ahli keluarganya.
Manakala, seorang lagi ditemui di tempat duduk pemandu sebuah trak pada pagi Sabtu.
Kemalangan itu bermula apabila sebuah trak yang besar berlanggar dengan sebuah lagi trak yang bersaiz sederhana. Trak tersebut pada ketika itu berhenti secara mengiring di jalan dua lorong, menyebabkan kemalangan berantai dan kebakaran bermula di salah sebuah kenderaan.
Keseluruhan tempat kejadian kemalangan itu kira-kira sepanjang 300 meter.
Ketika nahas itu berlaku, had laju ditetapkan pada 50 kilometer sejam disebabkan oleh salji.
Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua lorong masuk dan keluar ditutup antara Persimpangan Tsukiyono di Minakami dan Persimpangan Yuzawa di Wilayah Niigata, yang bersebelahan dengan Gunma.
Sumber: The Japan Times