
KUALA LUMPUR, 3 Okt — Walaupun mengalami sakit kaki, dua lelaki warga emas tempatan sanggup bertongkat mendaki anak tangga ke tingkat dua sebuah premis di Puchong di sini, semalam untuk bermain judi dalam talian.
Kedua-dua lelaki berusia 70 dan 77 tahun berkenaan juga mengaku selain berjudi, mereka juga pergi ke pusat perjudian itu untuk mengurangkan rasa bosan duduk di rumah dan bertemu dengan rakan-rakan.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dua individu berkenaan adalah antara 15 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Pusat Komersial Koi, Jalan Puchong menerusi Op Judi Online Khas malam semalam.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 8.30 malam itu, pihaknya turut menahan lima pekerja premis berkenaan terdiri lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing.
“Kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 77 tahun dan siasatan mendapati premis ini disyaki telah beroperasi sejak empat tahun lepas serta dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.
“Turut dirampas pelbagai barangan termasuk 16 unit komputer riba yang digunakan untuk pertaruhan, sebuah komputer riba utama dan wang tunai sebanyak RM68,” katanya.
Razali berkata sindiket berkenaan dipercayai mengaut keuntungan bersih sehingga RM8,000 sebulan.
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada kesemua individu yang ditahan selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.
— BERNAMA