KEPALA BATAS, 24 Ogos – Dua lelaki warga emas ditemukan lemas dalam kejadian berasingan di tepi Sungai Permatang Bendahari, di sini dan di tepi pantai Jalan Pantai Bersih, Butterworth hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pertama mayat Ooi Kay Huat, 68, dijumpai pada 12.30 tengah hari dalam keadaan terapung dengan topi keledar masih lagi di kepala di sungai itu.
“Kejadian itu dimaklumkan orang awam kepada anak lelaki mangsa yang kebetulan memang tengah mencari ayahnya kerana mahu membawanya ke hospital, namun warga emas tersebut tiada di rumah mereka di Simpang Ampat.
Semasa ditemukan mangsa dalam keadaan terapung manakala motosikalnya berada di tepi sungai. Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dalam kejadian kedua, mayat Tang Kok He, 69, pula ditemukan di tepi pantai, Jalan Pantai Bersih dipercayai lemas ketika sedang menjala ikan di situ kira-kira pukul 2.50 petang hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya.
Sementara itu, di Bukit Mertajam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki penyaman udara di sebuah hotel bajet, di Alma, di sini hari ini.
Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan pada 2 petang memaklumkan seorang lelaki warga Bangladesh Mahmud Hasan Rabani, 26, terkena renjatan elektrik dan tidak sedarkan diri.
“Berdasarkan keterangan awal, lelaki yang merupakan pekerja kontraktor pembaikan penyaman udara itu sedang membaiki peralatan tersebut sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.
Mangsa terus dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan sebelum doktor mengesahkannya telah meninggal dunia akibat renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis menyiasat kes itu sebagai mati mengejut.
— BERNAMA