
PARIT BUNTAR, 30 Mac (Bernama) — Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia, dilaporkan hilang di perairan Kerian, selepas masing-masing terjatuh dari bot dalam dua kejadian berasingan pada malam tadi dan awal hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau Lt. Maritim Mohd Faiz Sujari berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pertama pada 9.40 malam, membabitkan insiden bot membawa muatan kayu bakau terbalik di perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk.
Kejadian itu menyebabkan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Gong Drong hilang, sementara dua lagi kru yang merupakan warga tempatan, berjaya berenang ke sangkar ikan berhampiran, katanya kepada pemberita di Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin Kuala Kurau, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya melancarkan gerakan mencari dan menyelamat yang bersambung hari ini, namun gagal menemukan sebarang petunjuk setakat tengah hari tadi.
“Pada 3 pagi tadi, kami menerima satu lagi maklumat kehilangan seorang nelayan warga tempatan dikenali Cheah Teang Kee, 61, yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Piandang ketika sedang memukat ikan,” katanya.
Katanya berdasarkan maklumat awal, mangsa keluar menangkap ikan pada 2 petang semalam sebelum sampannya dijumpai hanyut oleh komuniti nelayan di kedudukan kira-kira lapan bantu nautika di barat Tanjung Piandang.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dua lelaki tersebut melibatkan 17 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin Pengkalan Kuala Kurau, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.
Operasi turut dibantu komuniti nelayan daerah Kerian, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kedua-dua kejadian.
— BERNAMA