Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan sebentar tadi memaklumkan bahawa terdapat dua kes rabies baharu dalam kalangan manusia.
Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada lapan orang pada tahun 2020.
“Kes rabies ketujuh adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun dengan sejarah digigit oleh anjing di bahagian muka pada 2 November 2020. Beliau terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies. Kes telah discaj dalam keadaan sihat pada 6 November 2020.
“Namun begitu, pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif.
“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November 2020 untuk rawatan lanjut dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 November 2020. Kanak-kanak ini sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil. KKM mendoakan agar kanak-kanak ini segera pulih seperti sedia kala,” kata kenyataan itu.
Kes rabies kelapan pula adalah seorang lelaki berusia 58 tahun yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November 2020 dengan gejala sakit dan lemah badan selama tiga (3) hari. Beliau juga mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum.
“Kes telah dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 November 2020 apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk. Beliau telah meninggal dunia pada 25 November 2020 dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Diagnosa disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh IMR pada 25 November 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang,” kata kenyataan itu lagi.
Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 adalah 30 kes dengan 28 kematian. Hanya terdapat dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal.
Sumber: Kp Kesihatan