dua kanak-kanak zayn rayyan
Kredit: BERNAMA

Dua Kanak-kanak Nampak Zayn Rayyan Sebelum Hilang – Polis

Nurhanis

Dua Kanak-kanak Nampak Zayn Rayyan Sebelum Hilang – Polis

Dua kanak-kanak yang sempat melihat kelibat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin pada 5 Disember lalu berjaya dikesan polis menerusi pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) secara besar-besaran baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, dua saksi itu sempat melihat kelibat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hari kejadian.

“Siasatan mendapati dua kanak-kanak ini mendakwa ternampak Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R pada petang 5 Disember lalu.

“Setakat ini, polis telah mengambil 10 sampel DNA menjadikan sebanyak 238 sampel,” katanya pada Khamis memetik Sinar Harian.

Menerusi pengambilan sampel DNA itu, kira-kira 86 individu telah memberikan keterangan kepada polis.

Semalam, polis menemukan sehelai stoking dalam kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Hussein Omar berkata stoking itu perlu dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan sama ada ia milik Zayn Rayyan atau bukan.

“Kami jumpa sehelai sahaja tetapi perlu buat pengesahan lanjut sama ada kepunyaan kanak-kanak itu atau bukan,” katanya memetik Bernama.

Difahamkan juga, polis telah mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mangsa untuk melihat sama ada wujud sebarang bukti baharu.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Sumber: Sinar Harian