Satu detik hitam buat negara apabila mencatatkan kes kematian harian tertinggi akibat jangkitan Covid-19 iaitu sebanyak 126 kes pada semalam, paling tinggi sejak pandemik melanda negara.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes kematian baharu itu menjadikan jumlah kumulatif korban akibat wabak berkenaan bertambah kepada 2,993 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 126 kes kematian melibatkan 29 kes di Selangor, 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 kes di Negeri Sembilan, 12 kes di Kelantan, 11 kes di Johor, 10 kes di Kedah, lapan (8) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing lima (5) kes di Melaka dan Terengganu, empat (4) kes di Sarawak, tiga (3) kes di Pahang, masing-masing dua (2) kes di Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Perak, serta satu (1) kes di Pulau Pinang.
Mendukacitakan, dua gadis berusia 20-an tanpa sebarang latar belakang penyakit turut maut sekaligus membuktikan wabak ganas ini boleh menyerang tanpa mengira siapa.
Mangsa pertama dengan nombor kematian 2921, berasal dari Kelantan dan berusia 27 tahun meninggal dunia di Hospital Machang.
Mangsa kedua dengan nombor kematian 2933, berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan dan berusia 26 tahun meninggal dunia di Hospital Labuan.
Berikut pula merupakan ringkasan kes kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan semalam.









Sumber: kpkesihatan.com