Gambar Hiasan via Google

Dua Ekor Singa Terlepas Di Lapangan Terbang Bikin Cemas, Dipercayai Keluar Dari Sangkar

Eyla Azri

Dua ekor singa dilaporkan terlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura setelah haiwan tersebut berjaya melepaskan diri dari sangkar.

Menurut The Straits Times, kejadian tersebut berlaku semalam dan sempat menimbulkan situasi cemas di lapangan terbang. Kedua singa yang terlepas adalah antara tujuh ekor singa yang sedang transit di negara itu.

Singapore Airlines (SIA), syarikat penerbangan yang bertanggungjawab ke atas proses perjalanan kesemua singa itu telah memanggil veterinar dan pasukan pemuliharaan haiwan karnivor untuk menangani kedua singa tersebut.

Memetik laporan The Straits Times, ketika ditemui, salah satu singa yang terlepas sedang elok berbaring di atas sangkar. Kedua singa berkenaan telah ditembak ubat pelali dan kini ditangani oleh Mandai Wildlife Group.

Menurut SIA, tidak dapat dipastikan dari negara mana tujuh singa itu diterbangkan dan ke mana destinasi akhir ia bakal dibawa. Namun SIA telah sedia maklum akan keberadaan singa-singa berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Kesemua singa tersebut diletakkan di dalam sangkar beserta jaring atas faktor keselamatan.

Insiden singa terlepas itu bagaimanapun tidak mengganggu operasi lapangan terbang berkenaan. Kedua singa tersebut kini diawasi di fasiliti kuarantin haiwan di Mandai dan beransur pulih dari kesan ubat pelali.

Sumber: The Straits Times