
Dua Beranak Maut Dalam Kebakaran Banglo Di Muar
MUAR, 10 Dis (Bernama) — Dua beranak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah banglo dua tingkat di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong Darat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Azizi berkata pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan daripada pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pada 2.35 petang sebelum siasatan dijalankan.
Beliau berkata mangsa pertama merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan terbakar pada tubuhnya selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana terlantar akibat kemalangan jalan raya.
“Mangsa kedua pula merupakan bapa kepada lelaki terbabit berusia 75 tahun, dan disahkan meninggal dunia di hospital akibat mengalami sesak nafas ketika cuba memadamkan api.
“Siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke unit forensik bagi proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata kes berkenaan diklasifikan sebagai mati mengejut.
Sumber: BERNAMA