KULIM, 7 Julai — Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun kerana memiliki dua laras senapang patah serta 28 butir peluru tanpa lesen di Kampung Padang Cina, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Azhar Hashim dalam kenyataan di sini berkata suspek pertama ditahan di Jalan Kampung Padang Cina pada pukul 5.30 petang selepas polis menemui beberapa butir peluru tabur dalam beg silang yang dipakainya.
Beliau berkata susulan penahanan itu, polis kemudiannya menahan suspek kedua dan menemui dua laras senapang patah serta beberapa butir lagi peluru di luar dan di dalam sebuah rumah di kampung itu.
Katanya senapang serta peluru yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke IPD Kulim, manakala kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Azhar berkata senapang patah yang dirampas itu dipercayai digunakan suspek untuk memburu binatang liar secara haram, dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Sumber: BERNAMA