Dua beradik dilapor maut selepas motosikal mereka melanggar belakang lori yang sedang berundur dalam satu kejadian di Hulu Terengganu pada petang Rabu, lapor Sinar Harian.
Merujuk laporan itu, kejadian tersebut berlaku di Jalan Kampung Pelandan – Cheting pada 2.45 petang melibatkan dua beradik, iaitu Muhammad Haiqal Abdullah, 18, dan adiknya, Muhammad Izman Hamidi Abdullah, 16.
Muhammad Izman Hamidi yang juga pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Indera bersama abangnya yang menunggang motosikal jenis Honda Beat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud memetik Sinar Harian berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Daihatsu Delta yang membawa muatan buah kelapa sawit diparkir di bahu jalan sebelah kiri arah menghala ke Kampung Pelandan.
“Difahamkan, pemandunya berusia 32 tahun berhenti untuk makan tengah hari. Selesai makan, lelaki tersebut dikatakan ingin pulang ke rumah di Kampung Pelandan, di sini.
“Semasa lori berkenaan sedang berundur, tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki kedua-dua beradik itu dari arah Cheting menghala ke Kampung Pelandan, di sini lalu melanggar bahagian belakang sebelah bucu kiri.
“Selepas menyedari pelanggaran tersebut, pemandunya turun daripada kenderaannya dan mendapati kedua-dua beradik berkenaan telah terbaring di atas jalan, ” katanya menerusi kenyataan pada Khamis, memetik Sinar Harian.
Menurutnya, mayat kedua-dua beradik berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan berat terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lori milik sebuah syarikat itu dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi untuk ditimbang dan didapati berat muatan dibawa tidak melebihi muatan,” ujarnya.
Tambah Sinar Harian lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar: Ihsan PDRM via Sinar HarianSumber: Sinar Harian