Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini berkongsi ucapan penghargaan berikutan diiktiraf sebagai alumni tersohor daripada universiti bekas tempat pengajiannya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Universiti Kebangsaan Malaysia terutamanya Fakulti Perubatan UKM kerana mengangkat nama saya sebagai Alumni Tersohor Tahun 2019 sempena Majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2020,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.

Mengimbas kembali, perjuangannya dalam pengajian perubatan sepanjang keberadaannya di universiti tersebut pernah didukung kuat oleh seorang individu yang dianggap mentornya.
Beliau pernah berkongsi imbauan sejarah tentang kejayaannya hasil bimbingan mentor tersebut ketika UKM menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun pada April lalu.

Selain itu, antara ‘bukti’ yang beliau layak diiktiraf sebagai alumni tersohor adalah ketika tersenarai tiga doktor terbaik dunia yang ‘lahir’ dari pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak COVID-19 oleh rangkaian televisyen China, Global TV Network (CGTN) pada April lalu.
CGTN menyatakan ia ‘menobatkan’ Dr Noor Hisham sebagai doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.
BACA: Biodata Dr. Noor Hisham: Wira Yang Diiktiraf Sebagai Pakar Perubatan Unggul Dunia
Tidak lain tidak bukan, dengan kejayaannya yang berjaya memimpin negara dalam memerangi wabak COVID-19 sejak akhir tahun lalu telah cukup membuktikan, beliau sememangnya wira yang tidak didendang.
Jutaan tahniah diucapkan buat Dr. Noor Hisham, semoga terus cekal dan maju dalam dunia perubatan demi Malaysia.

Sumber: Dr. Noor Hisham Abdullah