MUFTI Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin optimis pelantikan ahli kabinet di bawah Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah daripada kalangan anggota yang bersih.
Dalam satu kenyataannya di Facebook hari ini berkata, kepercayaannya itu bersandarkan pada hasil pertemuan bersama Perdana Menteri itu semalam.
“Apa yang menggembirakan saya, beliau memaklumkan bahawa Insya Allah senarai anggota kabinetnya nanti adalah mereka yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang terlibat menguruskan semalam bahawa beliau meminta setiap yang akan menganggotai Kabinetnya tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki. Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang diperolehi,” jelasnya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu pada 1 Mac lalu. Gambar: GoogleDalam pada itu, Asri menambah, beliau meletakkan keyakinannya pada Perdana Menteri itu dalam memilih anggota Kabinet yang bagus.
“Saya percaya jika anggota kabinet terdiri daripada kalangan mereka yang bersih dari korupsi dan berkualiti.
“Insya Allah itulah hujah yang kuat untuk beliau. Bertawakkallah kepada Allah dan sentiasa memohon pertolongan daripada-Nya,” katanya lagi yang turut berpeluang menunaikan solat berjemaah bersama Muhyiddin di kediaman Perdana Menteri itu semalam.
Bagaimanapun, dakwanya lagi, dalam memberi sokongan terhadap kerajaan demi kepentingan agama dan negara, Asri turut bersedia untuk memberi kritikan kepada kerajaan jika hal sebaliknya berlaku.
Sumber: Facebook