
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2023 – Sejarah tercipta apabila penyanyi nasyid yang juga ahli perniagaan, Dr Idzu, melalui firma kejuruteraan tisunya, Cell Tissue Technology Sdn. Bhd. (Cell Tissue) menyerahkan dua unit mesin 3D Bioprinter bernilai RM450,000 kepada Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regenaratif (CTERM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyerahan mesin pencetak canggih LUMEN X Gen 3 dan Bio X Gen 3 semalam mencetus satu era baru dalam penyelidikan perubatan di Malaysia yang mana UKM menjadi universiti tempatan pertama yang dilengkapi kemudahan 3D bioprinting terkini.
Menurutnya, pemberian ini adalah sebagai menyokong visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam penyelidikan perubatan maju di rantau ini.

“Saya berharap sumbangan hampir setengah juta ringgit ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh UKM melalui penemuan yang memberi impak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Menyedari hakikat bahawa misinya sebagai pembangun, pendukung dan pemain utama dalam bidang Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regeneratif ini begitu besar, Dr. Idzu berharap agar kerjasama erat antara industri dan institusi pengajian tinggi dapat memastikan kedudukan Malaysia terus setanding atau malah mendahului negara lain di Asia dan dunia.
“Dengan penyerahan 3D Bioprinter ini, penyelidik UKM kini berpeluang untuk mengoptimumkan potensi peralatan berteknologi tinggi ini bagi membantu penyelidikan dan inovasi dalam bidang perubatan regenerative,” katanya.
Dr. Idzu turut mengumumkan penawaran program Diploma in Regenerative Medicine hasil kerjasama Cell Tissue dengan American Board of Regenerative Medicine (ABRM) dan UKM melalui Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regenaratif (CTERM) bermula tahun hadapan.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Timbalan Dekan HEJIM Prof. Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Ketua Jabatan CTERM Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Mh Busra, Pegawai Saintifik Utama CELLINK Dr. Itedele Namro dan Ketua CELLINK Asia Pasifik Ms. Tomoko Bylund.