Doomsday Clock
Gambar: Instagram @bulletinoftheatomicscientists

"Doomsday Clock" Lebih Hampir, Pakar Nuklear Beri Amaran Masa Semakin Suntuk

Hannah

"Doomsday Clock" Lebih Hampir, Pakar Nuklear Beri Amaran Masa Semakin Suntuk

Dunia kini berada hanya 85 saat sebelum kehancuran global, menurut amaran terbaharu para saintis nuklear antarabangsa. Amaran itu dikeluarkan selepas Doomsday Clock (Jam Kiamat) ditetapkan kepada 85 saat sebelum tengah malam.

Difahamkan, penetapan terbaharu ini merupakan kedudukan paling hampir dalam sejarah sejak jam simbolik tersebut diperkenalkan. Ia juga menandakan satu perubahan ketara apabila jarum jam digerakkan empat saat lebih hampir berbanding tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh Bulletin of the Atomic Scientists, sebuah organisasi saintifik antarabangsa berpengaruh yang diasaskan pada tahun 1947.

Organisasi ini berperanan memberi amaran kepada masyarakat dunia mengenai pelbagai ancaman serius terhadap kelangsungan tamadun manusia.

"Kita sedang kesuntukan masa," - Pakar Nuklear

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bulletin of the Atomic Scientists, Alexandra Bell, menegaskan bahawa dunia masih gagal mencapai kemajuan yang mencukupi dalam menangani ancaman terhadap kelangsungan manusia.

"Doomsday Clock ialah alat untuk menunjukkan betapa hampirnya kita kepada kehancuran akibat teknologi ciptaan sendiri.

"Risiko daripada senjata nuklear, perubahan iklim dan teknologi disruptif semakin meningkat. Setiap saat sangat bermakna dan kita sedang kesuntukan masa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kempen Antarabangsa Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN), Melissa Parke, menegaskan Doomsday Clock bukan ramalan masa depan. Sebaliknya, ia adalah satu amaran keras.

"Senjata nuklear, peperangan, krisis iklim dan teknologi yang tidak terkawal semuanya dicipta oleh manusia. Ini bermakna kita juga mempunyai kuasa untuk mengubah haluan," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW) adalah antara jalan terbaik untuk mengundurkan semula jarum jam tersebut.

Apakah itu "Doomsday Clock"?

Doomsday Clock bukan jam sebenar, sebaliknya satu simbol yang menunjukkan sejauh mana manusia menghampiri kemusnahan global akibat tindakan sendiri. Ia menggambarkan ancaman besar seperti perang nuklear, perubahan iklim dan perkembangan teknologi yang tidak terkawal.

Menurut The Mirror, konsep masa digunakan supaya orang ramai lebih mudah memahami tahap bahaya yang sedang dihadapi dunia.

Gambar: Instagram @bulletinoftheatomicscientists

Semakin hampir jarum jam ke tengah malam, semakin tinggi risiko berlakunya bencana global. Tengah malam melambangkan kehancuran tamadun manusia seperti yang kita kenali hari ini.

Diperkenalkan pada tahun 1947, "Doomsday Clock" kini menjadi simbol amaran global paling berpengaruh di dunia. Pengumumannya setiap tahun sentiasa mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Mengapa Doomsday Clock kini lebih hampir?

Menurut Bulletin of the Atomic Scientists, beberapa faktor utama mendorong Doomsday Clock digerakkan kepada 85 saat sebelum tengah malam, iaitu tahap paling hampir dengan bencana global dalam sejarah.

Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah:

  • Ancaman teknologi disruptif, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas tanpa kawalan dan peraturan global yang jelas

  • Krisis iklim yang semakin parah, akibat kegagalan dunia bertindak secara tegas dan bersepadu

  • Ancaman senjata nuklear, terutamanya melibatkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China

  • Peperangan berpanjangan di Ukraine dan Timur Tengah

  • Penyebaran maklumat palsu dan salah maklumat secara meluas

  • Kebangkitan pemerintahan autokratik serta kemerosotan institusi demokrasi di banyak negara

Kesemua faktor ini saling berkait dan mempercepatkan risiko kemusnahan berskala global.

Gambar: Instagram @bulletinoftheatomicscientists

Tambah The Mirror, antara faktor besar yang menyumbang kepada lonjakan empat saat ini ialah tarikh tamat Perjanjian New START antara Amerika Syarikat dan Rusia, yang dijadual berakhir pada Februari.

Perjanjian ini penting kerana ia mengehadkan stok senjata nuklear, selain membenarkan perkongsian maklumat antara kedua-dua negara.

Justeru, kegagalan memperbaharui perjanjian ini dipercayai berisiko mencetuskan perlumbaan senjata nuklear baharu.

Masih ada harapan untuk mengundur jam?

Pengerusi Lembaga Sains dan Keselamatan Bulletin, Daniel Holz, menyifatkan Doomsday Clock sebagai satu usaha yang bersifat optimistik.

"Kita patut bimbang, tetapi terdapat banyak tindakan yang boleh mengundur jam ini. Kita perlu bersatu kerana ini demi kepentingan semua," katanya.

Justeru, para saintis menegaskan masih ada ruang untuk bertindak. Antara langkah yang disarankan ialah:

  • Amerika Syarikat dan Rusia menyambung semula rundingan kawalan senjata nuklear

  • Kerjasama antarabangsa bagi mengawal penggunaan AI dan bioteknologi berbahaya

  • Pelaburan serius dalam tenaga boleh diperbaharui

  • Perbincangan global antara AS, Rusia dan China mengenai penggunaan AI dalam sistem ketenteraan

Sumber:The Mirror