Donald Trump Mengaku Tak Bersalah Terhadap 34 Pertuduhan
WASHINGTON — Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengaku tidak bersalah terhadap 34 pertuduhan jenayah yang dibicarakan di Mahkamah di New York semalam.
Lapor AFP, bekas presiden berusia 76 tahun itu melakar sejarah apabila menjadi presiden Amerika pertama yang didakwa di mahkamah di Manhattan.
Beliau yang mengenakan sut biru gelap dilihat tenang bersama peguam bela sewaktu hadir di mahkamah berkenaan.
Difahamkan, Trump menafikan semua pertuduhan yang dibacakan. Ia termasuk pembayaran ‘wang menutup mulut’ mengenai hubungan dengan pelakon filem dewasa.
Selain itu, Trump turut dituduh memalsukan rekod perniagaan dan beberapa kes melibatkan penyelewengan cukai.
“Tidak bersalah. Setiap pakar undang-undang mengatakan bahawa tiada kes yang dilakukan secara haram,” katanya sewaktu pertuduhan itu dibacakan.
Susulan itu, dia telah dibebaskan daripada tahanan tanpa sebarang sekatan.
Tambah Trump, dia mengesahkan bakal memberikan ucapan pada Rabu jam 8.15 malam waktu tempatan berhubung perbicaraan mengejutkan itu.
Trump turut mendakwa bahawa dia menjadi mangsa penganiayaan politik.
Sementara itu, Peguam Daerah Manhattan dan ahli Demokratik, Alvin Bragg berkata kepada pemberita dia telah berdepan ancaman daripada ahli politik itu dan keluarganya.
“Kami hari ini menjunjung tanggungjawab kami. Ia bagi memastikan semua orang berdiri sama di hadapan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Hakim mahkamah, Juan Merchan berkata kes itu berkemungkinan telah bermula sejak Januari sebelum dia telah gagal menjawat jawatan presiden.
Protes Penyokong Trump
Dalam siaran langsung televisyen memaparkan sekumpulan penunjuk perasaan pro-Trump mengadakan perhimpunan di luar kawasan tersebut.
Ia bagi memberi respon terhadap Kem anti-Trump yang sentiasa mengibarkan bendera dengan slogan “Trump or Death.” dan “Trump berbohong sepanjang masa”.
Berikutan itu, pihak polis telah dikerahkan bagi mengawal situasi.
Pertuduhan Ke atas Trump
Antara pertuduhan yang hangat diperkatakan berkaitan Trump adalah melibatkan sejumlah pembayaran wang bernilai lebih (RM571,00) $130,000 kepada pelakon filem dewasa.
Pembayaran itu dipercayai dibuat sebelum kemenangan Trump dalam pilihan raya.
Bekas peguam Trump Michael Cohen turut menjelaskan bahawa bayaran itu bertujuan untuk menutup mulut pelakon itu yang telah bersamanya pada tahun 2006.
Tambahan lagi pendakwa raya turut menyalahkan bekas presiden itu atas pembayaran berjumlah lebih RM131,000 ($30,000) bagi menutup mulut seorang penjaga pintu Trump Tower yang mempunyai anak luar nikah.
Sumber: AFP