Donald Trump Dicalonkan Sebagai Penerima Hadiah Nobel Keamanan
Lebih 300 individu dan organisasi telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan tahun ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Nobel Norway pada Rabu.
Walaupun senarai rasmi kekal rahsia selama 50 tahun mengikut peraturan Nobel, beberapa nama besar telah disebut, termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Pope Francis.
Menurut AFP, jumlah pencalonan bagi tahun ini mencecah 338, terdiri daripada 244 individu dan 94 organisasi.
Angka ini meningkat berbanding 286 pencalonan tahun sebelumnya, tetapi masih belum mengatasi rekod tertinggi sebanyak 376 pencalonan pada 2016.
Jawatankuasa Nobel tidak pernah mendedahkan calon secara rasmi.
Bagaimanapun, pihak yang layak mencalonkan termasuk bekas penerima hadiah, ahli parlimen, menteri kabinet dari seluruh dunia serta beberapa profesor universiti, bebas untuk mengumumkan pencalonan mereka.
Trump dicalonkan oleh ahli politik AS dan Ukraine
Pada Isnin lalu, Ahli Kongres AS, Darrell Issa, menyatakan dalam satu hantaran di platform X bahawa beliau mencalonkan Trump untuk anugerah berprestij itu.
Pencalonan tersebut dibuat dengan alasan usaha bekas presiden itu dalam menangani konflik di Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa pencalonan Issa dikatakan dibuat selepas tarikh tutup.
Selain itu, seorang ahli parlimen Ukraine, Oleksandr Merezhko, dilaporkan telah mencalonkan Trump pada November lalu.
Media Ukraine menyebut bahawa pencalonan itu dibuat sebagai usaha untuk menarik perhatian Trump, yang ketika itu bakal dilantik semula sebagai presiden.
Trump pernah beberapa kali dicalonkan sebelum ini. Namun, pencalonan tahun ini menarik perhatian kerana beliau mencetuskan kontroversi dengan membuka rundingan bersama Moscow berhubung perang di Ukraine.
Dasar luar AS di bawah pentadbiran beliau juga menggugat kestabilan hubungan dengan sekutu Eropah.
Pencalonan lain termasuk Pope Francis dan bekas ketua NATO
Selain Trump, beberapa nama lain turut disebut sebagai calon, termasuk bekas Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, serta Pope Francis.
Ahli parlimen Norway turut mengesahkan pencalonan Stoltenberg dan Guterres kepada media tempatan.
Pada Januari lalu, ribuan orang di United Kingdom menandatangani petisyen menyokong pencalonan wanita Perancis, Gisele Pelicot, untuk Hadiah Nobel Keamanan.
Pelicot mendapat pujian atas keberaniannya bersuara secara terbuka ketika perbicaraan bekas suaminya, yang disabitkan bersalah kerana membiarkan orang asing merogolnya semasa dia dibius.
Tahun lalu, Hadiah Nobel Keamanan diberikan kepada kumpulan mangsa pengeboman atom Jepun, Nihon Hidankyo.
Ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam menentang penggunaan senjata nuklear.
Untuk info, Hadiah Nobel Keamanan akan diumumkan pada Oktober ini, dan pemenangnya akan menerima hadiah wang tunai serta pingat Nobel dalam satu majlis rasmi di Oslo, Norway.
BACA: Tekanan Pada Leher Akibat Jerutan Punca Kematian Pegawai Tribunal Rayuan Kastam
BACA: Kematian Isteri Pempengaruh: Polis Rampas Enam Ubat Dipercayai Dari Jepun
BACA: Penyanyi Dikir Barat, Suami Dan Empat Individu Bebas Tuduhan Miliki Pil Kuda
Sumber: AFP