Seorang doktor Malaysia yang berpangkalan di Singapura yang sempat diselamatkan ketika sesat di Gunung Annapurna, Nepal minggu lalu meninggal dunia.
Mendiang Dr Chin Wui Kin, 48 tahun yang terkandas ketika sedang menuruni Gunung Annapurna dari puncak gunung selama dua malam namun gagal untuk kembali semula ke kem.
Usaha menyelamat yang dijalankan dianggap sebagai satu keajaiban kerana tidak semua mereka yang terkandas dapat diselamatkan apalagi dengan cuaca ekstrim dan kekurangan oksigen. Namun, mendiang dijumpai dengan keadaan separuh sedar dan segera dihantar ke hospital Kathmandu untuk rawatan lanjut ditemani isterinya.
Doktor kecemasan di Hospital Mediciti memberitahu bahawa beliau berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami hiportemia selain luka beku pada kaki dan tangan.
Rakan-rakan dan saudara-mara memberikan penghormatan terakhir untuk mendiang Dr Chin di sebuah kuil Buddha di Bukit Merah pada Khamis.
Sumber: Berita MediaCorp