Ketika sihat, sanggup beli dan bela macam anak sendiri. Tapi bila sakit, ia dibuang pula. Inilah luahan seorang doktor vet kesal pemilik buang landak begitu saja.
Tanggungjawab sebagai pemilik atau ‘ibu bapa’ kepada haiwan peliharaan adalah sangat besar untuk memastikan setiap aspek dan keperluan mereka sentiasa terjaga.
Bukan sahaja soal permakanan dan tempat tinggal, malah kesihatan juga perlu diambil kira untuk memastikan haiwan peliharaan sentiasa dalam keadaan baik serta bebas daripada sebarang penyakit.
Menerusi akaun TikTok milik seorang doktor veterinar, Salehatul Khuzaimah(@dr.imavet), beliau kongsikan mengenai kes seekor hedgehog atau landak yang ditinggalkan oleh pemilik asal.
Namun apa yang menyedihkan, landak itu diberikan kepada seorang individu (pemilik baharu) secara percuma saja dipercayai kerana ia mengalami beberapa masalah kesihatan.
Difahamkan, menurut penjelasan doktor tersebut, haiwan ini telah mengalami masalah kulit, kekurangan air dalam badan dan kelaparan kerana tidak makan.
Selain itu, menerusi akaun Twitter miliknya, Dr. Ima menegaskan bahawa jika kita tidak mampu untuk jaga dan rawat seekor haiwan peliharaan, jangan sesekali simpan niat untuk ambil, beli dan sebagainya.
“Ini adalah kekejaman terhadap haiwan, dah sakit, lepaskan macam tu je? Mujur ada yang sanggup jadi ‘makpak sanggup’ untuk jaga. Itupun sebab dia tak tahu apa-apa.
“Haiwan peliharaan perlukan komitmen sepanjang hayat, mereka bukan mainan, mereka juga benda hidup yang perlu di ambil perhatian penuh,” tulisnya.
Ikuti juga perkongsian video dari TikTok @drima_vet, semoga video boleh dijadikan pengajaran dan rujukan kepada mereka yang mempunyai niat untuk mengambil haiwan peliharaan.
Sumber: Dr Ima (Tiktok & Twitter)