Doktor Sahkan Lepuh Kanser Biden Berjaya Dikeluarkan
Pakar perubatan White House memaklumkan lepuh kulit kanser telah berjaya dikeluarkan dari dada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada 16 Februari dan tiada rawatan lanjut diperlukan, lapor CBS News.
Doktor peribadinya, Dr. Kevin O’Connor berkata lepuh itu dikesan semasa pemeriksaan fizikal dan dikeluarkan di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed di Maryland.
Ujian mendapati lepuh itu adalah karsinoma sel basal yang merupakan bentuk kanser kulit yang paling biasa.
“Semua tisu kanser berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan yang di hantar ke White House.
Beliau menyatakan bahawa lepuh karsinoma sal basal biasanya tidak merebak seperti beberapa kanser kulit yang lebih serius seperti melanoma atau karsinoma sel skuamosa.
Pun begitu, pakar perubatan akan sentiasa memberikan perhatian penuh dan terus memantau keadaan Biden.
Biden difahamkan telah menghabiskan kira-kira tiga jam di Walter Reed untuk rutin fizikalnya bulan lalu apabila lepuh itu dikeluarkan.
Dr. O’Connor kemudian berkata bahawa presiden yang berusia 80 tahun itu berada dalam keadaan yang baik untuk bertugas.
Ujarnya, beliau mampu melaksanakan sepenuhnya semua tanggungjawab tanpa sebarang pengecualian atau kemudahan.
Biden juga tidak menunjukkan gejala Covid lama selepas dijangkiti virus itu musim panas lalu dan kekal stabil.
Biden dikatakan akan terus mengambil ubat untuk mencegah pembekuan darah dan kolesterolnya, menurut doktor.
BACA: Joe Biden Ucap Tahniah Kepada Anwar, Puji Demokrasi Malaysia
Dua juta rakyat AS didiagnosis karsinoma sel basal
Menurut American Academy of Dermatology, dianggarkan sebanyak dua juta rakyat AS didiagnosis dengan karsinoma sel basal setiap tahun.
Dengan pengesanan dan rawatan awal, hampir semua karsinoma sel basal berjaya dikeluarkan tanpa komplikasi, kata Yayasan Kanser Kulit.
“Beberapa rawatan yang berkesan boleh dilakukan ke atas pesakit luar, menggunakan anestetik tempatan dengan kesakitan yang minimum.
“Selepas itu, kebanyakan luka boleh sembuh secara semula jadi, meninggalkan parut yang minimum,” kata yayasan itu.
Sekiranya tidak diberikan rawatan segera, tumor boleh membesar, menjadi lebih berbahaya dan memerlukan rawatan yang lebih meluas.
Sumber: CBS News