Doktor Pakar Kongsi Senarai Semak Tahap Kesediaan Anak 6 Tahun Masuk Tahun 1
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela akan dimulakan pada tahun 2027.
Berikutan itu, ramai tertanya-tanya sama ada anak mereka layak atau tidak untuk turut serta dalam pelaksanaan ini.
Perkara itu sekali gus mendorong ibu bapa mencari panduan yang jelas sebelum membuat keputusan penting melibatkan pendidikan awal anak mereka.
Seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr Khairunnisa Mohamad Khalil tampil berkongsi senarai semak untuk membantu ibu bapa menilai tahap kesediaan anak berusia enam tahun untuk mendaftar masuk Tahun Satu.
Ikuti perkongsian senarai semak tersebut di bawah.
Senarai Semak Tahap Kesediaan Anak
Berikut senarai semak ringkas saya sediakan untuk membantu ibu bapa. Saya harap senarai ni membantu.
1. Kognitif. Boleh belajar ke?
Boleh ikut arahan 2-3 langkah (Ambil buku, letak atas meja, duduk)
Boleh fokus pada satu aktiviti 15-20 minit
Kenal ABC, nombor 1-10, warna asas
Boleh pegang pensel dengan betul
Ingin tahu. Suka tanya "Kenapa?"
Jika anak memenuhi empat hingga lima perkara, petanda yang baik. Dua hingga tiga, boleh usahakan. Tiada hingga satu, mungkin perlu bagi masa lagi.
2. Emosi dan sosial, boleh urus ke?
Boleh pisah dari ibu bapa tanpamajor meltdown
Boleh main dengan kawan, ambil giliran, berkongsi
Boleh luahkan perasaan menggunakan perkataan, contoh "Saya marah" berbanding buat perangai
Boleh atasi kekecewaan kecil tanpa putus asa
Boleh ikut peraturan mudah
Ni yang ramai terlepas pandang. Akademik boleh kejar. Kesediaan emosi? Ambil masa.
3. Fizikal dan pengurusan diri, boleh berdikari ke?
Boleh pergi tandas sendiri sepenuhnya
Boleh makan sendiri tanpa banyak bantuan
Boleh pakai atau buka kasut sendiri
Boleh jaga barang sendiri, seperti beg, botol air
Stamina untuk duduk dan belajar tiga hingga empat jam
Perkara asas, tapi penting. Sekolah tak sama macam tadika. Cikgu tak boleh fokus secara individu
4. Komunikasi, boleh express ke?
Boleh cakap dalam ayat penuh
Boleh cerita balik apa jadi tadi
Boleh tanya bila tak faham
Boleh jawab soalan orang dewasa
Faham arahan dalam BM atau BI
Kalau anak masih sukar berkomunikasi keperluan asas, itu petanda untuk tunggu dulu.
Cara guna senarai semak ni, keseluruhan ada 20 perkara. Jika keputusan penilaian anak memenuhi 15 hingga 20 perkara, berkemungkinan anak sudah bersedia. Boleh pertimbangkan.
Jika keputusan penilaian anak memenuhi 10 hingga 14 perkara, anak anda menghampiri kemampuan. Gunakan tahun ni untuk buat persediaan.
Bagi penilaian yang hanya memenuhi 10 perkara ke bawah, beri anak masa. Tak rugi tunggu setahun.
Penting. Ini panduan, bukan diagnosis.
Anda lebih mengenali anak anda. Percayakan gerak hati anda.
Tak bersedia umur enam tahun bukan erti gagal. Tunggu setahun bukan lambat. Setiap anak ada garis masa tersendiri. Tugas anda bukan paksa anak untuk sesuai dengan sistem.
Tugas anda ialah pastikan anak bersedia untuk berkembang, bukan sekadar cuba untuk hidup.
Simpan senarai semak ni, kongsi dengan pasangan. Bincang sama-sama.