Kredit: Dr Nurul Yaqeen/FB

Doktor Kongsi Lelaki Muda Sesak Nafas Sangat Teruk, Dada Kiri ‘Sunyi’

Hannah

Doktor Kongsi Lelaki Muda Sesak Nafas Sangat Teruk, Dada Kiri ‘Sunyi’

“Saya… saya nak hidup… Saya ada anak kecil…” – Itulah antara kata-kata seorang lelaki muda sebelum dimasukkan ke bilik prosedur kecemasan kerana sesak nafas yang sangat teruk.

Detik cemas ini dikongsikan oleh seorang doktor menerusi laman Facebook Dr Nurul Yaqeen.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, segalanya bermula pada awal pagi apabila pintunya diketuk kuat oleh jururawat yang memaklumkan kes kecemasan.

“Doktor, ada kes emergency… lelaki muda, sesak nafas sangat teruk. Isteri dia tolak masuk dengan wheelchair. Dia tak boleh bercakap,” kata jururawat itu, seperti dikongsi Dr Nurul Yaqeen.

Tanpa berlengah, Dr Nurul Yaqeen kemudiannya terus ke ruang menunggu.

“Di sana, saya nampak seorang lelaki dalam lingkungan 30-an. Wajahnya pucat seperti kertas, baju kerjanya masih bersalut debu, peluh mencurah-curah. Nafasnya pendek-pendek, matanya seperti menjerit minta tolong.

“Di sebelahnya, seorang wanita muda, isterinya, menggenggam tangan suaminya dengan erat, air mata tak berhenti mengalir,” kongsinya.

Dada kiri ‘sunyi’, paru-paru bocor

Hasil pemeriksaan awal mendapati paru-paru sebelah kiri pesakit ‘sunyi’, tiada bunyi pernafasan langsung. Menurut Dr Nurul Yaqeen, keadaan itu dikenali sebagai “pneumothorax”.

Dr Nurul Yaqeen kemudiannya menjelaskan kepada pesakit bahawa prosedur kecemasan perlu dilakukan segera.

“Kita kena tebuk dan masukkan tiub segera untuk keluarkan udara,” katanya.

Walaupun sukar bernafas, lelaki itu mengangguk dan sempat memohon untuk nyawanya diselamatkan.

“Saya… saya nak hidup, doktor… Saya ada anak kecik… Saya nak berhenti merokok. Sumpah…” katanya dengan nafas tersekat-sekat.

Setelah X-ray dilakukan di bilik prosedur kecemasan, pesakit disahkan mengalami “tension pneumothorax”.

“Udara terkumpul di rongga dada menekan jantung dan paru-paru kanan. Kalau lambat sikit… dia mungkin tak sempat,” jelas Dr Nurul Yaqeen.

Prosedur kecemasan kemudiannya segera dilakukan. Setelah ubat tahan sakit diberikan, doktor memasukkan tiub dada untuk mengeluarkan udara terkumpul.

Tidak lama kemudian, nafasnya mula stabil, wajahnya yang kelabu berubah menjadi merah jambu, dan matanya mula terbuka.

Peluang kedua

Tiga hari kemudian, Dr Nurul Yaqeen datang melawat pesakit itu di wad. Pesakit kelihatan jauh lebih segar dan sihat. Di tepi katilnya, terdapat sebungkus rokok yang telah direnyuk dan dibuang.

“Doktor… saya nak minta maaf. Saya dah rosakkan paru-paru saya sendiri. Saya mula merokok umur 15. Tapi hari ni saya berhenti. Saya taubat. Allah bagi saya peluang kedua. Saya tak nak sia-siakan,” kata pesakit, seperti dikongsi Dr Nurul Yaqeen.

Dalam pada itu, Dr Nurul Yaqeen tidak ketinggalan menitipkan pesanan penting buat peringatan ramai.

1. Rokok bukan saja merosakkan paru-paru, ia merosakkan nyawa. Dan kadang-kadang, ia terlalu lewat. Tapi selagi hidup… masih ada ruang untuk berubah.

2. Pneumothorax boleh berlaku kepada perokok muda yang nampak sihat. Jangan tunggu simptom jadi parah.

3. Doktor bukan sekadar merawat penyakit. Kita bantu selamatkan perkahwinan, keluarga, masa depan.

4. Kesempatan kedua itu mahal. Kalau Allah beri peluang hidup, jangan sia-siakan.

5. Hidup ini rapuh. Satu lubang kecil di paru-paru boleh hentikan semuanya.

Peringatan

Kesihatan dan nyawa yang kita miliki hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh, melainkan ‘hadiah’ yang tidak ternilai.

Ia adalah peluang untuk kita terus berada di sisi keluarga tersayang, membesarkan anak-anak, menyayangi pasangan, berbakti kepada ibu bapa dan memperbaiki diri dari hari ke hari.

BACA: Momen Lelaki Dakap Lembu Kesayangan Sebelum ‘Dikorban’ Undang Sebak Ramai

Sumber: Dr Nurul Yaqeen/FB