Jika kita mengalami sakit gigi yang teruk, salah satu ‘jalan’ solusi yang perlu dipilih adalah pergi ke klinik gigi dan cabut.
Selama ini kita mungkin beranggapan, cabut gigi itu adalah penyelesaian terakhir dan selepasnya tiada lagi sebarang risiko yang perlu dihadapi.
Tapi sebenarnya, ia tidak begitu.
Menurut perkongsian pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd Khairul Izwan, risiko komplikasi yang bahaya akan ‘menanti’ sekiranya seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi pada waktu tersebut.
Mari ikuti penjelasan ini.
Gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/GoogleTahukah anda, tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan berlakunya komplikasi yang mengancam nyawa ketika cabutan gigi dilakukan?
Antara komplikasi yang boleh terjadi akibat daripada cabutan gigi dalam keadaan tekanan darah yang tinggi adalah:
1- Risiko pendarahan yang banyak dan tidak berhenti di kawasan cabutan gigi.
Keadaan ini sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan seseorang mengalami kehilangan banyak darah yang banyak dan akhirnya boleh menjurus kepada kematian jika rawatan susulan tidak diberikan.
2- Risiko serangan jantung.
Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan terjadinya serangan jantung di mana jantung boleh berhenti secara tiba-tiba.
Keadaan ini adalah sangat berbahaya kerana degupan jantung yang terhenti boleh mengancam nyawa pesakit disebabkan aliran darah ke seluruh badan termasuk organ-organ penting terhenti.
Gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google3- Risiko serangan angin ahmar ataupun ‘stroke’ akibat pecahnya saluran darah di bahagian otak kerana tekanan darah yang terlalu tinggi.
Salur darah yang pecah boleh menyebabkan aliran darah ke otak mengalami gangguan atau terhenti. Keadaan ini boleh mengakibatkan sel otak mati dan mendedahkan pesakit kepada risiko terjadinya lumpuh anggota badan.
Mengambil bacaan tekanan darah sebelum rawatan cabutan gigi adalah prosedur operasi standard (SOP) bagi hampir keseluruhan klinik pergigian untuk memastikan tekanan darah pesakit berada pada tahap yang optimum.
Ini penting bagi mengelakkan risiko-risiko yang disebutkan di atas daripada berlaku.
Bacaan tekanan darah yang normal adalah 120/80 mmHg.
Gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/GoogleJadi, bolehkah pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi untuk mencabut gigi mereka?
Jawapannya sudah pasti boleh.
Namun anda haruslah:
1- Makan ubat yang dibekalkan oleh doktor perubatan anda mengikut aturan yang telah ditetapkan untuk menstabilkan tekanan darah anda. Lebih baik lagi jika anda bawa sekali ubat-ubatan tersebut ke klinik gigi ketika mendapatkan rawatan supaya doktor gigi tahu apa jenis ubat yang anda ambil.
2- Sentiasa amalkan gaya hidup yang sihat termasuk pemakanan serta senaman secara rutin bagi memastikan tekanan darah anda sentiasa stabil.
3- Dapatkan tidur dan rehat yang cukup sebelum mendapatkan rawatan pergigian di klinik gigi. Tidur atau rehat yang tidak mencukupi juga boleh meningkatkan tekanan darah anda.
Gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google4- Kekal tenang sepanjang berada di klinik gigi. Rasa takut yang keterlaluan dan gemuruh juga sedikit sebanyak boleh mempengaruhi bacaan tekanan darah anda.
5- Paling penting, jangan sesekali menyembunyikan masalah kesihatan anda ketika mendapatkan rawatan di klinik gigi supaya anda tidak terdedah kepada sebarang komplikasi selepas cabutan gigi. Jujur kepada diri sendiri dan kepada petugas kesihatan yang merawat anda.
Semoga bermanfaat!
Dr Mohd Khairul Izwan,
Suka berkongsi.
Jemput follow FB saya dan set See First supaya anda tidak tertinggal info yang menarik dan sangat berguna tentang kesihatan pergigian.
#DakwahGigi
Kredit foto: Google
Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan