Doktor Di Thailand Bimbang, Trend Makan Daging Kelawar Makin Meningkat
Peningkatan tabiat memakan daging kelawar dalam kalangan rakyat Thailand telah membuatkan ramai pengamal perubatan moden di negara itu bimbang.
Seorang doktor di Thailand telah memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya memakan daging kelawar susulan salah seorang pemburu kelawar di Sukothai, utara Thailand mendakwa bahawa ia baik untuk kesihatan.
Difahamkan, lelaki tersebut telah menjual kelawar dengan harga 100 baht (RM12) setiap satu kilogram.
Menurut Thaiger, pemburu kelawar yang berusia 33 tahun itu telah menjadi tajuk utama media Thai selepas mendakwa bahawa kononnya daging kelawar dapat mengembalikan tenaga.
Selain kelawar, lelaki itu juga dilaporkan turut memburu tikus, ular tedung dan sarang lebah semasa waktu lapang.
Dia memburu dengan cara mengikat jaring pada batang pokok buloh panjang untuk memerangkap kelawar untuk dijual. Dia dilaporkan telah menangkap beribu-ribu kelawar untuk dirinya sendiri dan selebihnya akan dijual.
Menurutnya, memetik Thaiger, kari kelawar merupakan hidangan yang paling terkenal dalam kalangan pelanggannya.
Selain itu, dia juga mengesyorkan pelanggan untuk makan kelawar bersama ‘nam jin’ iaitu sejenis sos pencicah. Dalam pada itu, dia juga berkata daging kelawar sebaiknya dimasak terlebih dahulu atas dasar keselamatan.
Walau bagaimanapun, seorang doktor Thailand berkata daging kelawar tidak boleh dimakan dalam apa jua keadaan sekali pun kerana bimbang akan berlaku sebarang bahaya terhadap kesihatan manusia.
Seorang doktor terkenal dari Jabatan Perubatan di Universiti Chiang Mai, Dr Rangsarit Kanchanawanit atau ‘Mor Mong’ berkata bahawa kelawar merupakan haiwan yang membawa 10,000 jenis virus yang boleh menjangkiti manusia.
Dia juga turut menegaskan bahawa manusia tidak boleh makan daging kelawar dan juga beberapa lagi spesies haiwan liar yang lain.
Ia kerana, daging haiwan yang mempunya virus mampu menjejaskan tahap kesihatan individu tersebut disebabkan oleh virus yang dibawa.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
BACA JUGA: “Jangan Risau Kantoi,” Abang Ni Kongsi ‘Helah’ Nak Ajak Member Pergi Bangkok Secara Percuma
Sumber: The Thaiger