Seorang lelaki ditahan oleh pihak berkuasa setelah mengikat anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dan membiarkan mangsa disengat dengan lebah dalam kejadian yang berlaku di Qalyubia, Mesir, baru-baru ini.
Menurut Al Arabiya, suspek yang berusia 34 tahun bertindak sedemikian untuk memberi ‘pengajaran’ kepada mangsa yang dituduh mencuri atas laporan seorang jiran.
Suspek dikatakan mengikat tangan dan kaki mangsa ke sebatang kayu sebelum menyapu keseluruhan tubuh mangsa dengan madu.
Dia kemudian meletakkan mangsa di atas bumbung rumah mereka dan membiarkan mangsa supaya dihurung dengan kawanan lebah dan nyamuk.
Namun, tidak diketahui berapa lama kanak-kanak itu ditinggalkan di atas bumbumg sebelum diselamatkan oleh pihak berkuasa yang menjumpai mangsa dalam keadaan “menyedihkan”.
Laporan media tempatan menyebut ibu mangsa yang berusia 29 tahun ketakutan apabila melihatnya keadaan anaknya lalu meminta bantuan kepada badan penyelamat kanak-kanak.
Wanita itu mendakwa sering menjadi mangsa penderaan suaminya secara fizikal dan suspek sering menggunakan kekerasan untuk menghukum anak mereka termasuk tidak memberikan makanan atau minuman untuk jangka masa yang lama.
Pihak berkuasa dilaporkan telah menjalankan siasatan dan akan menjatuhkan hukuman kepada suspek di atas kes penderaan.
Sumber: The Sun