Kredit gambar: BERNAMA

Ditohmah Individu, SPRM Buat Laporan Polis

Nur Adnin

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis berhubung tohmahan seorang individu terhadap pegawainya kononnya individu itu diugut pegawai SPRM berkaitan siasatan kes Macau Scam baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataannya hari ini menyebut pengurusan tertinggi agensi itu memandang serius tohmahan individu berkenaan.

“Individu berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas dua bulan dia dilepaskan daripada tahanan reman SPRM.

“Salinan laporan berkenaan pula telah ditularkan oleh pihak tertentu sekali gus mencemarkan nama baik SPRM,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, seorang pegawai SPRM telah membuat aduan rasmi kepada polis bagi menafikan tohmahan individu terlibat dan menggesa polis supaya menjalankan siasatan berhubung laporan itu.

“SPRM tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya dakwaan tersebut benar dilakukan oleh pegawai SPRM namun sekiranya laporan tersebut palsu maka individu tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan,” menurut kenyataan berkenaan.

Sumber: BERNAMA