Seorang pencari rumput terkejut apabila menjumpai seorang bayi perempuan masih bernyawa di sawah padi dalam satu kejadian di Sewon, Jogja pada Khamis baru-baru ini, lapor Tribun Jogja.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Bantul, Inspektor Nengah Jeffry berkata, bayi tersebut ditemui oleh pencari rumput berkenaan, Kadiyo, 70 tahun yang merupakan penduduk Srandakan, Bantul.
Ketika Kadiyo ternampak bayi perempuan tersebut, dia pun memanggil penduduk di sekitarnya, sekali gus bertindak pantas menghubungi pihak berkuasa.
“Bayi perempuan ini berada di dalam selimut warna biru. Terdapat penemuan barangan lain seperti lampin, kain kotor dan sebagainya. Bayi tersebut ditemukan dalam keadaan sihat,” ujarnya.
Gambar via Tribun JogjaSeterusnya, bayi malang itu dibawa ke Hospital Umum Daerah Panembahan Senopati untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
Berdasarkan hasil pemeriksaan doktor, Jeffry mengatakan bahawa bayi tersebut sudah dilahirkan lebih dari 24 jam sebelum ditemui di lokasi kejadian.
Selain itu, terdapat juga bekas suntikan imunisasi pada bahagian kaki kanan bayi terbabit.
“Bayi tersebut mungkin dibuang atas sebab kos rawatan yang mahal dan tidak diinginkan oleh kedua ibu bapanya. Bagi sementara waktu, bayi tersebut masih dirawat oleh pihak Hospital Panembahan Senopati,” ujarnya.
Jeffry menambah, kes masih dalam siasatan polis, manakala pihaknya turut mencatat dan memeriksa keterangan saksi berkenaan serta mengumpulkan bahan bukti di tempat kejadian.
“Selain menjalinkan kerjasama dengan orang kampung, pihak polis akan berhubung dengan pelbagai pihak seperti bidan, klinik kesihatan sampailah hospital di Bantul, demi mencari ibu bapa bayi tersebut,” katanya.
Sumber: Tribun Jogja